leaderboard denaihati Banner

Cara Penyelesaian Hutang (Al-Qard Bah.3)

21 April 2012

Fekah Hukum Hakam



SISTEM PINJAMAN DALAM ISLAM (AL-QARD Bah.3)

Oleh: Noehas (www.noehas.com)

 

4.0 CARA PENYELESAIAN HUTANG PINJAMAN

Pinjaman yang telah diambil mesti dipulangkan samada dalam bentuk zat yang sama ataupun tidak sepertimana yang telah disebut sebelum ini. Pengurusan pemulangan pinjaman ini telah dipelbagaikan oleh Islam kerana agama Islam adalah agama yang sempurna, mudah dan sesuai diamalkan di sepanjang zaman.

Dalam tajuk ini akan dibincangkan tentang cara-cara membayar, melunaskan atau memulangkan pinjaman. Diantara sistem yang diatur oleh Islam untuk urusan tersebut ialah:

  1. Sistem al-Suftajah (السُفتجَة).
  2. Sistem al-Muqassah (المُقاصَّة).
  3. Sistem al-Hiwalah (الحِوالة).
  4. Sistem al-Kifalah (الكِفالة).
  5. Sistem al-Rahn (الرهْن).
  6. Sitem al-Ibra (الإبْراء).

 

4.1 Pelunasan Pinjaman Menggunakan Sistem Al-Suftajah

Sebaik-baiknya urusan al-Qard dilakukan dalam tempat atau negara yang sama penggunaan matawangnya dan cara pengurusannya supaya tidak berlaku kerugian atau riba kepada kedua-dua pihak, al-muqrid dan al-muqtarid. Namun, jika urusan pinjaman itu terpaksa dijalankan dalam negara yang berbeza maka penyelesaiannya boleh dilakukan mengikut sistem al-Suftajah.

 

4.1.1 Definisi Al-Suftajah

Al-Suftajah berasal dari perkataan bahasa Farsi yang telah dijadikan sebahagian dari bahasa Arab. Ianya bermaksud urusan pinjaman dan pulangan al-Qard dilakukan dalam negara yang berbeza. Urusan al-Suftajah samada dengan pembayaran secara bertulis seperti menggunakan cek atau tidak bertulis seperti mengangkut barang pinjaman. Ianya juga boleh disebut sebagai urusan al-Qard antarabangsa.

 

4.1.2 Punca Berlaku Al-Suftajah

Al-Suftajah boleh berpunca dari jual beli tertangguh sepertimana yang diterangkan dalam bahagian pertama dalam tajuk 2.1. Ianya juga boleh berpunca dari al-Qard. Perbincangan di sini hanya berkisar sekitar al-Suftajah yang berpunca dari al-Qard.

 

4.1.3 Hukum Al-Suftajah

Sekiranya al-Suftajah berlaku dalam al-Qard dan ianya tidak disyaratkan atau diwajibkan ketika mengikat kontrak maka tidak ada ulamak yang melarang al-Suftajah dalam hal ini.

Tetapi, jika al-Suftajah disyaratkan dalam kontrak al-Qard maka ulamak telah berselisih pendapat dalam hal ini. Pendapat yang paling praktikal dalam masalah ini ialah:

a)      Al-Suftajah adalah haram jika kos dan risiko ditanggungkan ke al-muqtarid.

b)      Al-Suftajah diperbolehkan jika al-muqrid yang menanggung kos dan risiko selama pengurusan al-Suftajah, walaupun al-muqrid akan mengalami kerugian.

c)      Al-Suftajah juga diperbolehkan jika urusan tersebut mendatangkan kebaikan kepada al-muqrid dan ianya  tidak memudaratkan al-muqtarid.

d)     Al-Suftajah lebih dibolehkan jika manfaatnya kembali kepada kedua-dua belah pihak.

 

4.2 Pelunasan Pinjaman Menggunakan Sistem Al-Muqassah

Al-Qard samada berlaku dari satu arah iaitu al-muqtarid sahaja yang meminjam dari al-muqrid atau ianya berlaku dengan dua arah iaitu al-muqtarid meminjam dari al-muqrid dan al-muqrid juga ada meminjam dari al-muqtarid.

Sekiranya hal itu berlaku maka mereka boleh melunaskan hutang pinjaman mereka dengan cara berasingan iaitu setiap mereka melunaskan pinjaman masing-masing dengan cara setiap mereka membayar atau memulangkan pinjaman yang telah diambil atau mereka juga boleh memilih sistem al-Muqassah untuk pelunasan pinjaman tersebut.

 

4.2.1 Definisi Al-Muqassah

Definisi al-Muqassah ialah pengguguran pinjaman kerana persamaan jumlah pinjaman yang ditanggung antara al-muqrid dan al-muqtarid. Ianya juga disebut sebagai pinjaman yang dibalas dengan pinjaman. Ini adalah diantara cara penyelesaian hutang pinjaman.

 

4.2.2 Pensyaricatan Al-Muqassah

Al-Muqassah dibenarkan dalam Islam kerana ianya termasuk dalam cara balasan yang dibincangkan dalam “Ayat Qisas” yang berbunyi:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِصَاصُ فِي الْقَتْلَى[12]

Antara tafsiran ayat ini ialah yang maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu membalasi bayaran denda pembunuhan sesama kamu.”

 

Al-Muqassah juga telah disebut oleh Nabi saw dalam sabdaannya:

الظهر يركب بنفقته إذا كان مرهونا[13]

Maksudnya: “Binatang tunggangan ditunggang tanpa bayaran sekiranya binatang itu menjadi gadaian kepada penunggang.”

 

Hadis ini telah mengajar sistem al-Muqassah antara bayaran sewa menunggang dan upah menjaga binatang tersebut.

Pensyaricatan al-Muqassah memberi kemudahan kepada kedua-dua pihak untuk menyelesaikan urusan pinjaman sesama mereka.

 

4.2.3 Hukum Berkaitan Al-Muqassah

Syarat sah al-Muqassah ialah kesamaan pinjaman kedua-dua pihak dalam tempoh tertentu yang telah dipersetujui. Sekiranya salah seorang dari mereka lebih dalam memberi pinjaman maka boleh disepakati untuk bermuqassah pada jumlah yang terendah antara mereka.

Mengikut sebahagian pendapat yang dianggap pendapat yang paling tepat dalam masalah ini, al-Muqassah juga dibenarkan dalam bentuk demikian; jika seorang yang dizalimi hartanya menjumpai harta orang yang menzaliminya maka orang yang dizalimi tersebut dibenarkan oleh Islam untuk mengambil harta tersebut mengikut kadar hartanya yang telah dizalimi. Dalil perkara ini disebut dalam al-Quran:

وَإِنْ عَاقَبْتُمْ فَعَاقِبُواْ بِمِثْلِ مَا عُوقِبْتُم بِهِ وَلَئِن صَبَرْتُمْ لَهُوَ خَيْرٌ لِّلصَّابِرينَ [14]

Maksudnya: “Dan jika kamu memberi balasan terhadap sesuatu maka balaslah dengan balasan yang sama de­ngan siksaan yang ditimpakan kepadamu. Akan tetapi jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang sabar.”

 

Perkara tersebut boleh dilakukan dengan dua syarat:

  1. Perbuatan tersebut mungkin dilakukan.
  2. Selamat dari tuduhan mencuri.

 

4.3 Pelunasan Pinjaman Menggunakan Sistem Al-Hiwalah

Sistem al-Muqassah adalah pengalihan hutang pinjaman antara sesama mereka yang meminjam dan memberi pinjam. Selain itu pengalihan hutang pinjaman juga boleh dibuat terhadap orang lain yang ada kaitan dengan salah seorang dari al-muqrid dan al-muqtarid. Sistem pengalihan pinjaman tersebut dikenali sebagai al-Hiwalah.

 

4.3.1 Definisi Al-Hiwalah

Al-Hiwalah didefinisikan sebagai mengalihkan sesuatu tanggungan hutang dari seseorang kepada orang lain. Ini juga diantara kemudahan yang diizinkan oleh Islam untuk menyelesaikan hutang.

 

4.3.2 Pensyaricatan Al-Hiwalah

Pensyaricatannya disebut secara langsung dalam hadis Nabi saw:

مطل الغني ظلم، وإذا أتبع أحدكم على مليء فليتبع. وفي رواية: ومن أحيل بحقه على مليء فليحتل[15]

Maksudnya: “Orang kaya atau yang mampu tetapi melambat-lambatkan bayaran hutang pinjaman adalah termasuk dalam kezaliman. Sekiranya ditunjukkan kepada kepada seseorang yang boleh menyelesaikan hutang tersebut maka berurusanlah dengan orang itu.” Dalam riwayat yang lain: “Sesiapa yang dialihkan urusan hutangnya kepada orang lain yang mampu menyelesaikannya maka hendaklah dia berurusan dengan orang yang dialihkan kepadanya tersebut.”

Dalam hadis tersebut jelas mengajar cara atau sistem al-Hiwalah sebagai salah satu cara melunaskan pinjaman. Sememangnya sistem ini diperlukan dalam keadaan yang tertentu kerana adakalanya orang yang meminjam suka melambat-lambatkan bayaran sedangkan ada orang lain yang berhutang atau meminjam darinya yang sifatnya lebih baik dan mudah membayar pinjaman maka jika diminta secara pintasan kepada pihak ketiga akan melancarkan pengurusan al-Qard.

 

4.3.3 Tatatertib Berkaitan Al-Hiwalah

Sebahagian ulamak mensyaratkan persamaan jumlah pinjaman dalam urusan ini tetapi pensyaratan ini tidak diwajibkan oleh kebanyakan ulamak. Pendapat terakhir adalah lebih tepat. Wallahu a’lam bissowaab.

 

4.4 Pelunasan Pinjaman Menggunakan Sistem Al-Kifalah

Dalam menyempurnakan sistem pembayaran atau penyelesaian pinjaman, Islam juga menggalakkan umatnya membantu al-muqtarid untuk menyelesaikan pinjamannya. Bantuan ini dikenali sebagai al-Kifalah.

 

4.4.1 Definisi Al-Kifalah

Al-Kifalah bermaksud jaminan, iaitu seseorang bersedia menjadi penjamin kepada al-muqtarid. Sekiranya al-muqtarid tidak mampu membayar hutangnya pinjamannya maka si penjamin bertanggungjawab membayar hutang tersebut kerana si penjamin telah bersetuju menggabungkan tanggungjawabnya bersama tanggungjawab ­al-muqtarid untuk membayar hutang tersebut.

 

4.4.2 Pensyaricatan Al-Kifalah

Pensyaricatan al-Kifalah telah disebutkan di dalam al-Quran, firman Allah swt:

قَالُواْ نَفْقِدُ صُوَاعَ الْمَلِكِ وَلِمَن جَاء بِهِ حِمْلُ بَعِيرٍ وَأَنَاْ بِهِ زَعِيمٌ[16]

Maksudnya: “Penyeru-penyeru itu berkata: “Kami kehilangan piala raja maka sesiapa yang dapat mengembalikannya akan dianugerahkan bahan makanan seberat yang mampu dibeban oleh unta. Dan aku menjamin anugerah itu”.

 

Iaitu jika anugerah tersebut tidak ditunaikan oleh pihak kerajaan maka si penyeru bertanggungjawab melaksanakannya.

Walaupun ayat tersebut adalah syaricat sebelum umat Muhammad saw tetapi ianya diterimapakai kerana ianya diikitiraf oleh Nabi Muhammad saw dengan sabdaannya:

الزعيم غارم

Maksudnya: “Si penjamin adalah (bertanggungjawab membayar hutang) si piutang.”

 

4.4.3 Konsep Al-Kifalah

Sekiranya kontrak al-Kifalah telah dipersetujui maka al-muqrid boleh menuntut hutang dari si penjamin jika al-muqtarid tidak mampu atau tidak mahu membayar hutang. Namun begitu, al-muqtarid masih belum terlepas tanggungjawabnya walaupun hutangnya dibayar oleh si penjamin.

Jika bayaran yang dibuat oleh si penjamin untuk melepaskan tanggungjawab al-muqtarid atas dasar bersedekah maka ianya termasuk dalam sistem al-Hiwalah yang telah dibincangkan sebelum ini.

Akad atau kontrak yang berlaku antara si penjamin dengan al-muqtarid adalah akad yang berprinsipkan bantuan dan tolongan. Oleh sebab itu, tidak boleh dikenakan apa-apa bayaran terhadap kontrak tersebut sebagai upah menjadi penjamin kepada al-muqtarid.

 

4.5 Pelunasan Pinjaman Menggunakan Sistem Al-Rahn

Sistem-sistem di atas adalah cara untuk melangsaikan hutang dengan perbincangan antara ­al-muqrid dan al-muqtarid sepertimana dalam sistem al-Suftajah dan al-Muqassah, dan kekadang melibatkan pihak ketiga sepertimana dalam sistem al-Hiwalah dan al-Kifalah.

Namun, tidak semua ­al-muqtarid boleh menggunakan sistem al-Hiwalah dan al-Kifalah kerana ketiadaan pinjaman dari pihak ketiga dan ketiadaan orang yang bersedia untuk menjamin pinjaman tersebut.

Oleh sebab itu, Islam mengatur sebuah sistem lain yang mampu membantu menyelesaikan masalah pinjaman untuk mereka yang menghadapi masalah di atas dan juga untuk orang-orang lain. Sistem tersebut dikenali sebagai Al-Rahn atau gadaian.

 

4.5.1 Definisi Al-Rahn dan Pensyaricatannya

Ianya adalah hutang pinjaman yang disertakan dengan cagaran atau gadaian barang yang mempunyai harga. Iaitu barang berharga kepunyaan al-muqtarid disimpan dalam jagaan al-muqrid  untuk dijadikan cagaran dan digunakan untuk menyelesaikan hutang al-muqtarid  jika dia tidak mampu melunaskan hutangnya dalam tempoh tertentu.

Bermakna, al-Rahn adalah sebuah sistem pinjaman yang terjamin pulangannya dengan cagaran barang yang disimpan dalam jagaan al-muqrid.

Pensyaricatan al-Rahn disebut dalam firman Allah swt:

وَإِن كُنتُمْ عَلَى سَفَرٍ وَلَمْ تَجِدُواْ كَاتِبًا فَرِهَانٌ مَّقْبُوضَةٌ[17]

Maksudnya: “Jika kamu dalam perjalanan atau dalam keadaan yang seumpamanya yangmana sukar bagi kamu untuk berurusan tentang harta secara tunai dan kamu tidak memperoleh seorang penulis untuk mencacat hutang yang berlaku dalam urusan tersebut maka hendaklah barang cagaran atau gadaian yang dimiliki oleh al-muqtarid dipegang oleh al-muqrid.”

 

4.5.2 Tatatertib Al-Rahn

Supaya sistem al-Rahn memenuhi maksud pensyaricatannya maka beberapa tatatertib mesti diikuti, antaranya:

  1. Barang yang disimpan oleh al-muqrid mestilah dilakukan atas dasar jaminan, bukan atas dasar amanah yang disimpan.
  2. Barang yang ingin dijadikan cagaran dan jaminan tersebut mestilah barang yang mempunyai harga jika dijual kerana ianya akan dijual jika al-muqtarid tidak mampu membayar hutangnya.
  3. Al-Muqrid tidak dibenarkan untuk mengambil manfaat atau faedah dari barang cagaran yang disimpan olehnya kerana ditakuti berlakunya riba. Adapun, jika barang cagaran tersebut berbentuk binatang tunggangan atau binatang yang boleh diambil hasil susunya maka al-muqrid dibolehkan mengambil manfaat dari binatang tersebut sebagai upah atau gantian perbelanjaan yang telah dikeluarkan untuk membiayai binatang tersebut. Namun begitu, manfaat yang diambil dari binatang tersebut seharusnya tidak melebihi perbelanjaan yang dibelanjakan. Hukum ini telah dinyatakan oleh Nabi saw dalam sabdaanya:

الظهر يركب بنفقته إذا كان مرهونا، ولبن الدر يشرب بنفقته إذا كان مرهونا، وعلى الذي يركب ويشرب النفقة

Maksudnya: “Binatang tunggangan boleh ditunggang tanpa dibayar sewanya sekiranya binatang tersebut menjadi cagaran. Perahan susu binatang boleh diminum sebagai upah sekiranya binatang tersebut dalam cagaran. Kerana upah dan sewaannya ialah penjagaan binatang tersebut oleh orang yang menunggang dan yang meminum susunya selagimana dalam bentuk gadaian.”

 

4.6 Pelunasan Pinjaman Menggunakan Sistem Al-Ibra

Setelah Islam menyediakan sistem membayar pinjaman dengan pelbagai cara, Islam juga memahami bahawa tidak semua orang mampu membayar balik semua hutang pinjamannya samada kerana kesempitan hidup atau sebab-sebab yang lain.

Oleh kerana itu, Islam menganjurkan supaya sesetengah pinjaman digugurkan dan tidak dituntut semuanya atau sebahagiannya. Perbuatan tersebut sebagai bantuan untuk mereka benar-benar tidak memiliki upaya untuk menyelesaikan hutang pinjamannya.

 

4.6.1 Definisi dan Pensyaricatan Al-Ibra

Sistem al-Ibra ialah al-muqrid menggugurkan hutang al-muqtarid samada dengan menggugurkan kesemua hutang tersebut atau sebahagian darinya.

Al-Ibra disyaricatkan dalam Islam sepertimana firman Allah swt:

وَإِن كَانَ ذُو عُسْرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلَى مَيْسَرَةٍ وَأَن تَصَدَّقُواْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ[18]

Bermaksud: “Dan jika al-muqtarid adalah orang yang dalam kesukaran dan kesempitan, maka tangguhkanlah tempoh bayaran hingga dia berkelapangan dan mendapat kemudahan. Sedangkan, jikalau kamu menyedekahkan sebagian atau semua hutang itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui ganjaran dan akibatnya yang baik.”

 

4.6.2 Hukum Al-Ibra

Hukum al-Ibra samada wajib atau sunat. Penerangannya adalah seperti berikut:

  1. Hukum asal al-Ibra ialah sunat.
  2. Al-Ibra menjadi wajid sekiranya al-muqrid telah menyatakan pengguguran hutang, jika telah berlaku demikian maka haram ke al-muqrid menuntut hutangnya dari al-muqrid. Sekiranya al-muqrid berkata kepada al-muqtarid: “memadailah kau membayar kepada aku sebahagian dari hutang kau,” bermakna al-muqrid telah menggugurkan sebahagian pinjaman yang tidak perlu dibayar oleh al-muqtarid. Adapun jika al-muqrid berkata: “aku lanjutkan dan tangguhkan tempoh bayaran hutang kau kepada tempoh yang tertentu,” maka perkataan itu tidak menggugurkan hutang, ianya sekadar menangguhkan tempoh bayaran.

 

4.6.3 Cara Perlaksanaan Al-Ibra dan Syaratnya

Al-Ibra boleh dilaksanakan dengan pelbagai cara, antaranya:

  1. Menangguhkan tempoh bayaran.
  2. Mengurangkan bebanan sebahagian dari pinjaman.
  3. Menggugurkan semua pinjaman.

Sebahagian ulamak meletakkan syarat sah al-Ibra dengan penerimaan pengguguran tersebut dari pihak al-muqtarid kerana bukan semua orang yang berhutang menerima perkara ini, khususnya mereka yang mempunyai maruah yang tinggi, lebih-lebih lagi jika al-muqrid ialah orang yang suka mengungkit dan menyebut-nyebut jasanya kepada orang lain.

Al-Muqrid  boleh menggugurkan semua hutang atau sebahagiannya jika dia mahu. Sepertimana saranan Nabi saw kepada Ka’ab dengan sabdaanya:

ضع شطر من دينك[19]

Maksudnya: “Gugurkanlah separuh dari hutangmu.”

Si pemiutang juga boleh mengenakan syarat ketika dia menggugurkan hutang dari si piutang, diantara syarat tersebut ialah:

  1. Pengguguran yang disertakan dengan bayaran baki secara tunai yang dilakukan pada masa pengguguran tersebut.
  2. Pengguguran disertai dengan bayaran baki yang dilaksanakan secepat mungkin.

Ekonomi Islam telah meletakkan kaedah dalam urusan Al-Ibra yang berbunyi:

ضع وتعجل

Yang bermaksud: “gugurkan sebahagian pinjaman supaya dapat diselesaikan secepat mungkin sebahagian yang lain.”

 

4.7 Pelunasan Pinjaman Menggunakan Sistem Al-Iflas

Semua sistem pelunasan pinjaman di atas adalah berdasarkan sifat bertanggungjawab dan bantu-membantu sesama ­al-muqrid dan al-muqtarid.

Namun, jika sistem-sistem tersebut masih tidak berjaya menyelesaikan masalah pinjaman maka jalan penyelesaian terakhir yang diajar oleh Islam ialah dengan sistem al-Iflas. Sistem-sistem tersebut gagal samada dengan sebab ketidakmampuan pihak yang meminjam atau keengganan pihak memberi untuk bertolak ansur dalam urusan al-Qard tersebut.

 

4.7.1 Definisi Al-Iflas

Al-Iflas adalah sumber untuk perkataan muflis. Dari sudut bahasa, muflis bermaksud orang yang tidak mempunyai harta. Dalam definisi fiqh, muflis membawa erti orang yang mempunyai hutang melebihi harta yang dimiliki, dalam erti kata lain seorang muflis tidak mampu membayar semua hutangnya.

 

4.7.2 Tindakan yang Dikenakan Terhadap Muflis

Di bawah ini dibincangkan beberapa perkara yang diperlakukan kepada orang yang muflis yang tidak berjaya melunaskan pinjamannya dengan pelbagai sistem di atas. 

 

4.7.2.1 Pengisytiharan Muflis

Sekiranya hutang pinjaman telah sampai tempoh bayarannya dan ianya mesti dibayar oleh al-muqtarid sedangkan hartanya tidak mencukupi untuk melunaskan semua pinjaman tersebut maka pihak berkuasa seperti mahkamah harus menyatakan, memaklumkan dan mengisytiharkan status muflis terhadap al-muqtarid tersebut supaya orang lain menghindari daripada berurusan dengan beliau, juga supaya orang ramai boleh menjaga harta mereka dari disalahguna atau dibinasakan oleh si muflis.

 

4.7.2.2 Sekatan Harta

Sekatan harta juga dikenakan ke atas si muflis supaya dia tidak melakukan sesuatu dengan hartanya yang kemungkinan akan memburukkan lagi keadaan. Sekatan tersebut juga diisytiharkan oleh mahkamah.

Pendapat tersebut dipersetujui oleh kebanyakan ulamak selain Imam Abu Hanifah.

Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa tidak boleh dikenakan sekatan harta dan belanjawan ke atas si muflis kerana hak miliknya terhadap harta tersebut adalah sempurna, sedangkan sekatan tersebut melanggari hak asasi manusia dan menafikan kebebasan si piutang.

Walaupun begitu, pendapat jumhur ulamak adalah lebih tepat kerana Nabi saw sebagai ketua hakim negara pada ketika itu pernah melakukan sekatan belanjawan terhadap Muaz dan menjual hartanya untuk menyelesaikan hutang pinjaman beliau serta membahagi-bahagikan hasil jualan tersebut kepada para pemiutang. Ketika itu Nabi saw bersabda kepada para al-muqrid:

خذوا ما وجدتم وليس لكم إلا ذلك ولا سبيل لكم عليه

Bermaksud: “Ambillah apa yang kamu dapat dari harta dan hasil jualan harta si piutang. Kamu tidak dibenarkan menuntut hutang kamu kecuali dari harta dan hasil jualan harta ini sahaja. Selepas mengambil harta tersebut maka kamu tidak boleh melakukan apa-apa dakwaan terhadap beliau.”

 

4.7.2.3 Larangan Melakukan Perbuatan yang Memudaratkan

Diharamkan ke atas si muflis melakukan segala perbuatan yang boleh mendatangkan kemudaratan terhadap para pemiutang.

Begitu juga diharamkan ke atas orang lain untuk berurusan dengan si muflis dengan urusan yang boleh memudaratkan para al-muqrid.

Contohnya, jika al-muqtarid ingin memberi atau mendermakan hartanya kepada seseorang maka haram ke atas beliau melakukan perbuatan tersebut walaupun pada zahirnya adalah amalan yang baik, haram juga kepada sesiapa untuk menerima pemberian si muflis jika dia mengetahui akan hal kemuflisannya.

Sebaliknya, dibenarkan si muflis melakukan urusan yang boleh memberi manfaat kepada para al-muqrid seperti menerima bantuan kewangan dari orang lain dan sebagainya.

Adapun perbuatan si muflis yang samar-samar kemanfaatan dan kemudaratannya terhadap para al-muqrid seperti menjalankan perniagaan untuk menyelesaikan hutangnya maka para ulamak berbeza pendapat di dalam hal tersebut. Ada dari kalangan mereka yang membolehkan dan ada yang mengharamkannya. Walaubagaimanapun, perkara tersebut bergantung kepada keadaan.

 

4.7.3 Tatatertib Menjalankan Sistem Al-Iflas

Diantara tatacara dan tertib menjual harta si piutang yang muflis adalah seperti berikut:

  1. Dimulai dengan jualan harta gadaian yang dicagarkan kepada peminjam.
  2. Diikuti dengan jualan harta yang cepat rosak seperti makanan.
  3. Diikuti dengan jualan binatang ternakan atau binatang belaan si muflis kerana binatang tersebut terdedah kepada risiko-risiko seperti kematian dan binatang tersebut juga memerlukan belaan dan makanan.
  4. Diikuti dengan harta benda yang lain seperti kereta.
  5. Akhir sekali, dijual atau dimiliki aset-aset tetap seperti kedai, kebun dan sebagainya.
  6. Wajib ditinggalkan untuk si muflis perkara asas untuk hidup iaitu makanan, pakaian, rumah penginapannya dan buku-buku sumber ilmu untuk membantunya memajukan diri dalam urusan kehidupan selepas proses al-Iflas.

Perkara-perkara di atas dilakukan sekiranya ­al-muqtarid  tidak mampu membayar hutang yang telah sampai masa tuntutan dari para al-muqrid. Adapun, hutang yang dibenarkan untuk dibayar secara ansuran oleh al-muqrid adalah tidak termasuk dalam hukum-hukum di atas.

Sekiranya ada orang yang meminjam dengan si muflis iaitu si muflis juga adalah al-muqrid kepada orang lain, sedangkan pinjaman tersebut sedang dibayar secara ansuran oleh al-muqtarid dan jumlah pinjaman tersebut boleh menampung apa yang dipinjam oleh si muflis dari para al-muqrid  maka si muflis tersebut tidak boleh dihukum sebagai muflis kerana dia masih berhak untuk menunggu hartanya supaya boleh digunakan untuk membayar hutang.

 

 

RUJUKAN

Al-Quran.

Abdullah Al-Muslih & Solah Al-Sowi. 2001. Ma Laa Yasa’ Al-Tajir Jahluhu. Riyad: Darul Muslim.

Ali Ma’shum & Zainal Abidin Munawwair. 2002. Kamus Al-Munawwir Arab-Indonesia Terlengkap. Surabaya: Pustaka Progressif.

Ismail Ibnu Kathir. 2004. Tafsir Al-Quran Al-Azim. Al-Ulya: Darul Alam Al-Kutub.

Mahmud Abdul Rahman. Mu’jam Al-Mustalahat Wal Alfaz Al-Fiqhiyyah. Kaherah: Darul Fadilah.

Muhammad Al-Amin Al-Syanqiti. 1997. Adwaul Bayan Fi Idah Al-Quran Bil Quran. Beirut: Darul Kutub Al-Ilmiyyah.

Muhammad Tohir Ibnu Asyur. Tafsir Al-Tahriri Wa Al-Tanwir. Tunis: Darul Suhnun.

Rafiq Yunus Al-Misri. 2005. Usul Al-Iqtisad Al-Islami. Damsyik: Darul Qalam.

Rafiq Yunus Al-Misri.2005. Fiqh Al-Muamalat Al-Maliyah. Damsyik: Darul Qalam.

Sulaiman bin Abdullah Al-Qusayyir. 2005. Ahkam Al-Dain. Riyad: Daul Kunuz Syibiliya.


[1]  Al-Quran, Al-Baqarah 2: 282.

[2]  Semua terjemahan ayat al-Quran di dalam penulisan ini adalah terjemahan yang dibuat sendiri oleh penulis dengan menggunakan cara terjemahan beserta tafsir ringkas untuk mudah difahami. Tafsiran yang diselitkan beserta dengan terjemah ini diambil dari kitab-kitab tafsir yang disebut dalam halaman rujukan di akhir penulisan ini. Oleh kerana penafsiran yang tidak jauh beza dalam ayat ini maka disatukan kesemua tafsiran kitab-kitab tersebut di dalam terjemahan bersama tafsiran ringkas di atas.

[3]  Al-Qusayyir, Sulaiman bin Abdullah, Ahkam Al-Dain, m/s 20.

[4]  Al-Quran, Al-Nahl, 16:71.

[5]  Al-Quran, Al-Zukhruf, 43:32.

[6]  Al-Muslih dan Al-Sowi, Ma Laa Yasac al-Tajir jahluhu, m/s 211.

[7]  Mahmud, Mucjam al-Mustalahat al-Fiqhiyyah, 3/81-82.

[8]  Al-Quran, al-Baqarah, 2:245.

[9]  Ibnu Majah, Sunan, 2430.

[10]  Abu Daud, Sunan, 3504.

[11]  Al-Bukhari, Sahih, 2390, 2392 dan 2393.

[12]  Al-Quran, Al-Baqarah, 2:178

[13]  Albukhari, Sahih, 3/187.

[14]  Al-Quran, Al-Nahl, 16:126.

[15]  AL-Bukhari, Sahih, 3/123. Ahmad, Musnad, 2/463.

[16]  Al-Quran, Yusuf 12:72.

[17]  Al-Quran, Al-Baqarah 2:283.

[18]  Al-Quran, Al-Baqarah, 2:280.

[19]  Al-Bukhari, Sahih, 1/127.

If you enjoyed this post, please consider leaving a comment or subscribing to the RSS feed to have future articles delivered to your feed reader.
, , , , , , , , , ,

No comments yet.

Leave a Reply

CommentLuv badge

Follow

Get every new post delivered to your Inbox

Join other followers: