leaderboard denaihati Banner

Hukum Bersandar Atas Al-Quran



Kemuliaan dan kehebatan al-Quran yang diturunkan oleh Allah Yang Maha Hebat sudah pasti tiada tolok bandingnya. Pada kesempatan kali ini, kita bincangkan tentang hukum bersandar atau menjadikan al-Quran sebagai tempat dan alat bersandar, bertindih atau seumpamanya.

Oleh kerana al-Quran adalah kitab yang sangat mulia dan diturunkan oleh Allah yang Maha Perkasa dan Maha Bijaksana maka ia perlu diberi penghormatan yang begitu tinggi. Hinggakan apa sahaja perbuatan yang ada unsur penghinaan atau melecehkan al-Quran mesti ditolak dan dijauhi.

Antara perbuatan yang dibincangkan oleh para ulama dalam bab ini ialah hukum bersandar kepada al-Quran. Menjadikan al-Quran sebagai sandaran dalam berhujah adalah amat digalakkan tetapi menjadikan al-Quran sebagai tempat dan alat untuk bersandar seperti bantal, kerusi dan sebagainya adalah ditegah dan haram hukumnya. Sama ada bersandar dengan belakang badan, dada, kepala, tangan atau sebagainya. Hukum tersebut telah disebut oleh ramai ulama seperti al-Imam al-Qurtubi dalam kitab tafsirnya, Ibnu Abd al-Qawiy dalam kitabnya Majma’ al-Bahrain dan Syeikh al-Bahuti dalam kitab Kisyaf al-Qina’ beliau.

Antara alasan pengharaman ialah perbuatan tersebut ada unsur melekehkan al-Quran dan tidak menghormati al-Quran iaitu kalamullah yang agung. Hukum dan hujah tersebut sudah pasti bersumberkan dalil dari al-Quran dan hadis Nabi SAW. Antara dalil dari al-Quran ialah ayat 32 dari surah al-Hajj yang menegaskan bahawa sesiapa yang menghormati syiar-syiar Allah seperti al-Quran, haji, solat dan sebagainya adalah orang yang hatinya bertakwa kepada Allah SWT.

Jika maksud ayat tersebut dilihat dari sudut sebaliknya akan jelaslah bahawa mereka yang tidak menghormati syiar-syiar Allah seperti menjadikan al-Quran sebagai bantal atau alat tempat bersandar maka perbuatan tersebut menggambarkan bahawa orang yang melakukan perkara tersebut tidak ada sifat takwa dalam dirinya.

Selain itu, banyak riwayat hadis yang menegah dan melarang dari menjadikan al-Quran sebagai bantal tempat bersandar. Antaranya hadis al-Muhajir dan ‘Ubaidah al-Mulaiki, yang menyebut bahawa Nabi SAW telah bersabda yang maksudnya “Wahai umat al-Quran, janganlah kamu menjadikan al-Quran sebagai bantal, tetapi bacalah ia dengan baik pada siang dan malam hari.” Dan hadis-hadis yang semakna dengannya.

Walaupun ada sebahagian ulama berpendapat bahawa hadis tersebut membawa maksud supaya jangan lalai dari membaca al-Quran dan supaya berjaga malam untuk membacanya dalam solat dan di luar solat tetapi mereka juga tidak menafikan maksud yang telah disebutkan iaitu menggunakan al-Quran sebagai alat bersandar.

Dalam menerangkan hukum menjadikan al-Quran sebagai alat bersandar, ulama telah bersepakat bahawa sekiranya perkara tersebut dilakukan dengan niat penghinaan, saya ulangi sekali lagi, dengan niat penghinaan maka sudah pasti ia haram. Bahkan perbuatan tersebut boleh membawa kepada kufur dan riddah atau murtad. Dalilnya ialah surah at-Taubah ayat 65 dan 66 yang menceritakan tentang sifat orang munafik yang membawa kepada kekufuran iaitu mereka berkata bahawa mereka hanya bermain-main. Kemudian Allah SWT menempelak mereka kerana bermain-main dengan All-ah dan Rasul-Nya. Maka sudah pasti perbuatan tersebut menyebabkan kekufuran selepas keimanan iaitu terkeluar dari daerah Islam.

Tetapi, sekiranya perbuatan menjadikan al-Quran sebagai tempat bersandar tanpa niat penghinaan terhadap al-Quran maka di kalangan ulama terdapat tiga pendapat dalam menerangkan hukum tersebut. Tiga pendapat tersebut ialah haram, makruh dan harus. Namun, makruh dalam masalah ini dikaitkan dengan haram juga sepertimana yang diterangkan dalam beberapa kitab yang menyebut hukum makruh tersebut iaitu makruh yang bermaksud perkara yang dibenci dan diharamkan.

Pendapat yang mengatakan bahawa hukum haram menggunakan al-Quran sebagai alat bersandar adalah hukum mutlak iaitu sama ada dengan niat penghinaan atau tanpa niat tersebut. Hujah mereka ialah kerana masih wujud unsur penghinaan terhadap al-Quran. Selain itu, niat pelaku adalah perkara yang tidak mungkin diketahui maka seharusnya perkara tersebut dihukum mengikut zahir perbuatan. Namun, mereka mengecualikan keadaan darurat seperti terpaksa melakukannya supaya terselamat dari rampasan pihak kafir dan sebagainya. Begitu juga, seolah-olahnya pelaku menjadikan al-Quran seperti barang-barang lain yang boleh dilakukan apa sahaja untuk tujuan apa sahaja.

Pendapat yang mengharamkan secara mutlak ini disebut dengan jelas oleh Imam al-Nawawi al-Syafi’e dalam kitabnya al-Tibyan dan begitu juga para ulama lain dari kalangan mazhab Hambali dan sebagainya. Adapun pendapat yang mengatakan bahawa perbuatan tersebut makruh yang bermaksud dibenci dan ia adalah haram ada disebut dalam kitab-kitab bermazhab Hanafi dan Hambali.

Adapun pendapat yang lain mengatakan harus atau tidak mengapa menjadikan al-Quran sebagai alat bersandar sekiranya tidak ada niat untuk menghina al-Quran. Walaupun pendapat ini ada disebut dalam beberapa kitab tetapi penulis belum mengetahui siapakah dari kalangan ulama yang berpegang dengan pendapat demikian kerana hanya nukilan pendapat sahaja yang ada tanpa penegasan tentang siapakah yang berpegang dengan pendapat tersebut.

Hujah bagi pendapat yang ini ialah tiada dalil khusus yang menerangkan hukum haramnya menjadikan al-Quran sebagai alat bersandar sekiranya tanpa niat penghinaan. Bagi mereka, hadis yang menegah perbuatan tersebut adalah da’if atau lemah dan tidak boleh dijadikan hujah dalam menetapkan hukum.

Mengikut pendapat penulis, hujah yang diberikan oleh pendapat terakhir adalah tidak sekuat hujah yang digunakan oleh pendapat yang sebelumnya kerana penggunaan hujah dari al-Quran, hadis dan pemeliharaan kesucian al-Quran perlu diambil kira dan dilihat dari semua sudut, bukan sahaja dari sudut hadis tersebut lemah atau tidak. Penulis menyatakan pendirian tersebut kerana hadis yang dikatakan lemah oleh pihak yang tidak mengharamkan atau memakruhkan perbuatan tersebut adalah hadis yang disahihkan juga oleh ramai ulama hadis. Selain itu, sikap berjaga-jaga dalam hukum juga mesti dititik beratkan.

Justeru, pembaca al-Quran dan seluruh umat Islam harus mengetahui dan melaksanakan hukum ini dengan menjaga adab dengan a-Quran kerana ia ada kaitan dengan kesempurnaan iman, takwa dan akhlak seorang Mukmin. Lebih penting lagi dari itu, bahayanya perbuatan tersebut boleh membawa kepada kekufuran jika dilakukan dengan niat penghinaan atau boleh mendatangkan penghinaan dari pihak kafir disebabkan perbuatan tersebut. Wallahu a’lam bissowaab.

If you enjoyed this post, please consider leaving a comment or subscribing to the RSS feed to have future articles delivered to your feed reader.
, , , , , ,

2 Responses to “Hukum Bersandar Atas Al-Quran”

  1. Bella Says:

    As’salamualaikum , izinkn sy share . JazaakALLAHu Khaira
    Bella recently posted..Action !My Profile

    Reply

Leave a Reply

CommentLuv badge

Follow

Get every new post delivered to your Inbox

Join other followers: