leaderboard denaihati Banner

Hukum Menyentuh Al-Quran Tanpa Wuduk



Tajuk: HUKUM MENYENTUH AL-QURAN TANPA WUDUK

Oleh: Noehas

www.noehas.com

Al-Quran adalah mukjizat dan azimat yang paling agung untuk umat Muhammad SAW. Kitab suci ini adalah pegangan dan panduan yang telah membawa generasi terdahulu ke mercu kejayaan di sisi Allah SWT dan menjadikan seluruh dunia merasa kagum dan hormat kepada umat Islam.

Kitab yang penuh dengan keberkatan dan rahmat ini sudah pasti wajib dihormati dan disanjung tinggi kerana ia bukanlah dari manusia atau makhluk tetapi ia adalah perkataan Allah SWT Tuhan yang Maha Hebat dan Maha Perkasa yang telah menjadikan sekalian alam. Perkataan yang datang dari Maha Hebat sudah pasti ia juga hebat dan perlu dijaga kehebatan dan kehormatannya. Selain itu, Al-Quran ini juga sudah pasti mempunyai hukum hakam yang tersendiri dalam konteks memelihara kehormatan dan keagungannya.

Justeru, artikel ini mengupas secara ringkas tentang hukum hakam khas dalam memelihara keagungan dan kehormatan al-Quran seperti hukum berwuduk untuk memegang al-Quran, membacanya dan melihatnya. Begitu juga hukum hakam yang lain seperti jual beli al-Quran, meletakkan al-Quran di atas lantai, melihat al-Quran ketika dalam solat, membaca al-Quran dalam keadaan haid atau nifas dan lain-lain lagi. Pembahasan ini ada juga kaitan dengan adab bersama al-Quran yang harus dan mesti dijaga oleh setiap Muslim. Jika diizinkan Allah SWT dan dimudahkan segala urusan maka pembahasan ini akan bersiri dan bersambung pada setiap keluaran majalah yang amat bermanfaat ini.

Sebelum dibahaskan dengan lebih lanjut tentang hukum hakam tersebut, ingin sekali saya menyentuh tentang sifat para ulama dahulu dalam mengagungkan Al-Quran. Selain dari pengagungan dari sudut bacaan, amalan dan penyampaian ilmu al-Quran, mereka juga mengagungkan al-Quran hingga ke tahap menulis al-Quran dengan tinta emas, perak, zamrud dan pelbagai jenis permata yang indah dan mahal. Apa yang kita pelajari dari sifat tersebut ialah pengorbanan mereka dalam membelanjakan masa, diri dan harta untuk al-Quran dan ilmunya semata-mata berbanding dengan sebahagian masyarakat kita yang sibuk menghabiskan masa, tenaga dan harta untuk mendapatkan keseronokan dan kemewahan yang melampau.

Baiklah, sekarang dimulakan pembahasan tentang hukum yang berkaitan dengan al-Quran. Pertama sekali, hukum menghormati al-Quran. Semua ulama dari kalangan salaf dan khalaf telah berijmak dan bersepakat mengatakan wajib menghormati al-Quran, wajib mengagungkannya dan memuliakannya kerana ia adalah kitab yang paling mulia dan agung dalam sekalian alam semesta ini. Mereka juga telah berijmak bahawa haram menghina al-Quran dan menjadi kafir orang yang membuang al-Quran seperti sampah dengan niat untuk menghina al-Quran. Dalil dan hujah dalam penetapan hukum ini ialah ijmak yang telah berlaku di kalangan ulama dalam menetapkan hukum ini tanpa seorang pun yang membantahnya.

Keduanya hukum wuduk untuk memegang al-Quran. Hukum ini hanya membincangkan tentang wuduk untuk memegang al-Quran. Adapun, hukum wuduk untuk membaca al-Quran dan sebagainya akan dibincangkan kemudian.

Dalam masalah ini, ada dua pendapat yang muktabar. Pendapat pertama mengatakan bahawa wajibnya suci dari hadas besar dan kecil iaitu mereka mewajibkan dan menjadikan wuduk dan suci dari hadas sebagai syarat untuk memegang atau menyentuh al-Quran. Pendapat ini adalah pendapat muktabar dalam keempat-empat mazhab iaitu pendapat jumhur ulama. Pendapat ini juga adalah pendapat yang dipegang oleh kebanyakan para sahabat Nabi SAW seperti Ali, Ibnu Abbas, Ibnu Mas’ud, Ibnu Umar dan lain-lain radiya Allahu ‘anhum ajma’iin.

Pendapat kedua pula ialah sebaliknya iaitu tidak wajib dan bukan syarat bagi seseorang yang ingin menyentuh atau memegang al-Quran berada dalam keadaan berwuduk. Pendapat ini dipegang oleh sebahagian ulama seperti al-Hasan al-Basri, Ibnu Hazam dan lain-lain.

Punca perselisihan pendapat di tersebut ialah cara memahami ayat 79 dari surah al-Waqi’ah yang berbunyi لَّا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ. Maksudnya, tidak menyentuh akan al-Quran kecuali oleh mereka yang suci. Berpunca dari ayat tersebut maka dua hukum yang bertentangan telah difahami dengan cara berlainan. Dua hukum tersebut pula tercetus dari dua aspek utama daripada ayat itu sendiri. Aspek pertama ialah perkataan ‘الْمُطَهَّرُونَ’ iaitu ‘mereka yang suci’. Para ulama yang mewajibkan wuduk untuk menyentuh al-Quran berpendapat ‘mereka yang suci’ itu ialah dari kalangan manusia iaitu mereka yang suci dari hadas kecil dan besar. Adapun, kalangan ulama yang tidak mewajibkan wuduk untuk menyentuh al-Quran pula berpendapat ‘mereka yang suci’ itu ialah para malaikat.

Aspek kedua dalam percanggahan memahami ayat tersebut pula ialah konteks memahami keseluruhan ayat tersebut. Ulama yang mewajibkan wuduk dalam hal ini berpendapat bahawa ayat tersebut adalah khabar yang merangkumi atau ada di dalamnya hukum larangan menyentuh al-Quran tanpa wuduk. Adapun, ulama yang tidak mewajibkan wuduk untuk menyentuh al-Quran berpendapat bahawa ayat tersebut disebut dalam bentuk khabar atau cerita bukan dalam bentuk perintah larangan.

Antara punca perselisihan pendapat ini juga ialah perselisihan di kalangan ulama dalam menentukan status hadis dan maksud yang ada menyentuh tentang wuduk untuk memegang al-Quran iaitu adakah hadis tersebut hadis sahih atau tidak sahih mengikut ilmu mustalah al-hadis, sekiranya sahih adakah hadis tersebut membawa maksud wajib atau hukum yang lain. Contohnya hadis yang diriwayatkan oleh Al-Daruqutni yang berbunyi الا تمس القرآن إلا على طهر yang bermaksud janganlah engkau menyentuh al-Quran kecuali dalam keadaan suci.

Namun, jika dikaji lebih mendalam tentang hujah kedua belah pihak maka akan didapati bahawa hujah bagi pihak yang mewajibkan wuduk dalam masalah ini adalah lebih banyak dan lebih tepat dari sudut kefahaman ayat, kesahihan hadis, logik dan praktikal, adab, kehormatan al-Quran dan keagungan kalam Ilahi. Oleh sebab itu, kebanyakan ulama muktabar seperti Imam al-Nawawi, al-Tobari, al-Qurtubi dan lain-lain mengatakan bahawa pendapat yang tidak mewajibkan wuduk untuk menyentuh al-Quran adalah pendapat yang lemah.

Justeru, pendapat yang paling tepat dan rajih dalam masalah ini ialah pendapat yang dipegang oleh jumhur ulama dari kalangan salaf dan khalaf iaitu wuduk adalah syarat untuk menyentuh atau memegang al-Quran secara langsung iaitu jika ingin dipegang tanpa alas atau tanpa menggunakan sebarang alat. Pendapat jumhur dianggap kuat kerana hujah yang digunakan oleh pendapat yang bertentangan dengan mereka adalah lemah. Contohnya, pendapat yang lemah tersebut mengatakan bahawa ayat tersebut menceritakan tentang keadaan kitab Luh Mahfuz yang tidak disentuh kecuali oleh para malaikat yang suci sifatnya dan mereka juga tidak menganggap adanya larangan dalam ayat tersebut.

Hujah begitu amat rapuh dan lemah kerana jalan cerita ayat tersebut jika dilihat dari awal ialah menceritakan atau menerangkan tentang kitab al-Quran, bukannya tentang Luh Mahfuz yang berada di langit. Buktinya ialah ayat 77 dari surah yang sama iaitu ayat إِنَّهُ لَقُرْآنٌ كَرِيمٌ yang jelas menyebut perkataan al-Quran dan juga ayat 80 dari surah yang sama iaitu ayat تَنزِيلٌ مِّن رَّبِّ الْعَالَمِينَ yang memberi sifat kepada kitab yang telah disebut dalam ayat 79 iaitu kitab yang dimaksudkan ialah kitab yang diturunkan, sedangkan Luh Mahfuz bukan kitab yang diturunkan ke atas umat ini. Begitulah juga dengan hujah-hujah lain yang dikemukakan oleh pendapat yang lemah itu tidak teguh dalam menjawab persoalan yang sedang dibincangkan.

Setelah beberapa hukum tentang al-Quran ini dibincangkan di sini maka jelaslah kepada kita tentang betapa pentingnya kita menjaga kemuliaan dan kesucian al-Quran dari setiap sudut. Semoga Allah SWT memberi kekuatan kepada kita semua untuk menjadi ahli VIP Allah SWT yang telah disebut dalam hadis sahih iaitu mereka yang memelihara al-Quran.

If you enjoyed this post, please consider leaving a comment or subscribing to the RSS feed to have future articles delivered to your feed reader.

3 Responses to “Hukum Menyentuh Al-Quran Tanpa Wuduk”

  1. hamba Allah Says:

    Assalamualaikum Ustaz,

    Nak bertanya mengenai masalah ini. Apakah hukum jika kita sedang membaca Al-Quran tiba anak kita yg masih kecil (belum mumaiyiz) datang kepada kita sambil menyentuh Al-Quran seakan2 tertarik ingin membaca sekali?

    Reply

  2. sweetkurma Says:

    iannya sangat jelas….betul lah memang ustaz power

    Reply

Leave a Reply

CommentLuv badge

Follow

Get every new post delivered to your Inbox

Join other followers: