Tawaf wida’ atau wada’ bermaksud pusingan tujuh kali di keliling kaabah sebagai ibadat terakhir di Masjid Al-Haram. Dalam mazhab Asy-Syafiie hukum tawaf wida’ adalah wajib kecuali ke atas beberapa jenis orang seperti wanita yang sedang haid dan sesiapa yang meninggalkannya maka dikenakan dam atau denda. Pendapat tersebut dikongsi bersama ulama yang lain seperti Imam Abu Hanifah, Ahmad bin Hanbal dan kebanyakan ulama yang lain. Dalil mereka ialah sabdaan Nabi saw: لا ينفرن احد حتى يكون آخر عهده بالبيت yang bermaksud janganlah meninggalkan oleh seseorang itu (akan Mekah) kecuali dijadikan ibadat terakhirnya di Kaabah (tawaf wida’). Adakah hukum tawaf wida’ umrah termasuk dalam hadis tersebut?
Timbul persoalan adakah kewajipan hukum tawaf wida’ tersebut umum atau khas untuk ibadat haji sahaja? Dalam perbahasan ini mazhab Asy-Syafiie ada dua pendapat iaitu pendapat yang mengatakan tawaf wida’ khas untuk ibadat haji, ini adalah pendapat Al-Imam Al-Haramain dan Al-Imam Ghazali dari kalangan ulama besar bermazhab Asy-Syafiie. Pendapat ini juga dikongsi bersama mazhab Hanafi. Dalil mereka, tidak ada riwayat yang Nabi saw memerintah para sahabat melaksanakan tawaf wida’ ketika umrah tetapi ada dalil yang meriwayatkan Nabi saw memerintah para sahabat melaksanakan tawaf wida’ ketika ibadat haji. Pada mereka hukum tawaf wida’ umrah tidak ada dan tidak perlu dilaksanakan.
Al-Imam Rafie dan Al-Imam Al-Nawawi yang tergolong dalam golongan ulama besar mazhab Asy-Syafiie yang datang selepas dua orang ulama tadi pula berpendapat tentang hukum tawaf wida’ bahawa ia bukan ibadat yang dikhususkan untuk haji tetapi umum untuk sesiapa yang ingin meninggalkan Mekah walaupun bukan dalam ibadat haji dan umrah. Pendapat hukum tawaf wida’ ini disokong oleh sebahagian ulama bermazhab Hanbali seperti Syeikh Ibn Taimiyah. Antara dalil mereka ialah qias ibadat umrah ke atas ibadat haji dan juga perintah Nabi saw dalam urusan tawaf wida’ ini berlaku pada kali terakhir Baginda saw berada di Mekah, kiranya ia adalah hukum terbaru.
Maka sesiapa yang melaksanakan umrah dituntut juga melaksanakan tawaf wida’. Walaubagaimanapun kita harus berlapang dada dalam masalah hukum fiqh kerana semua ulama berusaha untuk mengeluarkan hukum yang paling tepat dan sahih. Perpaduan dan kesatuan umat wajib didahulukan dan kebaikan serta kebajikan umat mesti diutamakan. Semoga sedikit penerangan tentang hukum tawaf wida’ umrah ini dapat membantu para jemaah umrah yang selalu terkeliru tentang tawaf tersebut.









26 May 2012
Fekah Hukum Hakam