leaderboard denaihati Banner

Kitab Hadith Paling Penting

19 April 2012

Hadith Nabawi



Dalam entri kali ini, Noehas ingin membincangkan tentang kitab hadis yang paling penting bagi setiap Muslim. Bukti ia penting, kitab tersebut telah disyarahkan, dibincangkan, dikupas oleh beribu ulama sejak 800 tahun dahulu hingga kini. Bahkan kitab tersebut telah dihafaz oleh jutaan manusia termasuklah pelajar-pelajar di sebahagian sekolah agama dan madrasah serta pondok di Malaysia.

Kitab hadith paling penting bagi setiap Muslim yang Noehas maksudkan ialah kitab Al-Arba’uun An-Nawawiyyah. Kitab ini adalah kitab hadis yang mengumpulkan 42 buah hadis nabawi yang kebanyakkannya adalah diambil dari kitab Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim.

Kitab ini ditulis oleh Al-Imam Abu Zakaria Muhyiddin Yahya bin Syaraf An-Nawawi yang lahir pada bulan Muharram tahun 631 tahun Hijrah. Beliau telah menamatkan penulisan kitab Al-Arba’uun An-Nawawiyyah ketika umurnya 37 tahun pada malam Khamis 29/5/668 Hijrah. Beliau meninggal dunia pada malam Selasa 24/7/676 Hijrah ketika umur 45 tahun. Diriwayatkan beliau mula terlibat dalam dunia penulisan pada tahun 660 Hijrah iaitu ketika beliau mencecah umur 29 tahun, bermakna beliau tamat dari penulisan Al-Arba’uun An-Nawawiyyah selepas 8 tahun beliau menulis kitab-kitab dan juga 8 tahun sebelum beliau wafat. Dalam tempoh 16 tahun beliau terlibat dalam dunia penulisan, 50 tajuk kitab yang dapat dikesan dan masih banyak lagi kitab karangan beliau yang belum dapat dikesan.

Asal kitab Al-Arba’uun An-Nawawiyyah adalah dari kuliah yang beliau sampaikan di majlis ilmu. Anak murid beliau Al-Hafiz Ibnu Solah yang mengumpulkan hadis-hadis penting yang diambil dari kuliah Al-Imam An-Nawawi sebanyak 26 buah hadis kemudian Al-Imam An-Nawawi menambah lagi hingga terkumpul 42 buah hadis yang termaktub di dalam kitab Al-Arba’uun An-Nawawiyyah.

Al-Imam An-Nawawi mengatakan bahawa kitab Al-Arba’uun An-Nawawiyyah adalah kitab yang mengumpul hadis-hadis penting yang berkisar tentang asas-asas agama Islam dari pelbagai aspek.
Mengikut kajian beliau semua hadis di dalam kitab Al-Arba’uun An-Nawawiyyah status hadithnya adalah hadis sahih yang boleh digunapakai dari sudut ilmu usul hadith.

Antara tujuan beliau mengarang kitab Al-Arba’uun An-Nawawiyyah adalah untuk berkongsi usaha dalam menyebarkan ilmu hadith, menyertai ulama dalam usaha menghidupkan 40 buah hadis kerana ada beberapa hadith yang mendorong berbuat demikian, memudahkan para pelajar untuk menghafaz hadis-hadis Nabawi kerana itu hadis yang dibawa tidak disertakan dengan sanad dan beliau juga mengarang Al-Arba’uun An-Nawawiyyah adalah mengharapkan manfaat yang besar untuk umat.

Harapan beliau, setiap insan yang inginkan kejayaan di akhirat mestilah mengetahui hadith-hadith di dalam kitab Al-Arba’uun An-Nawawiyyah kerana ianya sangat penting dan menyentuh ketaatan dalam mengamalkan keseluruhan agama dalam kehidupan.

Ramai ulama mengarang kitab 40 hadith tetapi tidak ada dari kitab-kitab tersebut yang masyhur dan terkenal seperti kitab Hadith 40 karangan Al-Imam An-Nawawi. Setiap kitab yang ditulis oleh beliau amat diminati oleh para ulama hinggakan ada sebahagian kitab beliau yang disyarahkan dan diulas dalam berpuluh tajuk kitab dan diajar oleh beribu ulama. 30 buah kitab telah direkod oleh ulama sebagai kitab syarah bagi kitab Al-Arba’uun An-Nawawiyyah.

Sambutan dari para ulama kepada penulisan beliau adalah bukti keilmuan beliau, keikhlasan beliau dan Allah menerima penulisan beliau hingga disebarkan kebaikannya kepada ramai ulama dan seterusnya kepada umat sejagat. Qabuliyat dan penerimaan ini telah dijelaskan dalam Al-Quran seperti ayat 96 dari surah Maryam dan juga beberapa hadis sahih.

Justeru, setiap mereka yang ingin memahami Islam mesti memahami ilmu yang terkandung dalam 42 buah hadith yang terkandung di dalam kitab Al-Arba’uun An-Nawawiyyah ini.

Sebagai galakan untuk meramaikan lagi remaja dan anak-anak menghafaz hadis-hadis yang ada di dalam kitab tersebut, Noehas dengan kerjasama Denaihati Group akan menganjurkan pertandingan hafazan hadis dari kitab Al-Arba’uun An-Nawawiyyah tersebut. Semakin ramai yang menyertainya semakin besarlah majlis yang akan Noehas jalankan nanti insyaAllah.

 

If you enjoyed this post, please consider leaving a comment or subscribing to the RSS feed to have future articles delivered to your feed reader.
, , ,

2 Responses to “Kitab Hadith Paling Penting”

  1. sweetkurma Says:

    wahhh bagus ni, apa bentuk hadiah yang pihak noehas syorkan, kot2 little scarf collections boleh jadi salah seorang penaja….dan dimana akak boleh dapatkan naskah ni…boleh order dengan ustaz ker…akak pun nak belajar jugak heee

    Reply

  2. Razifredz Says:

    Alhamdulillah saya sokong sangat

    Reply

Leave a Reply

CommentLuv badge

Follow

Get every new post delivered to your Inbox

Join other followers: