leaderboard denaihati Banner

Pelbagai Jenis Hutang dan Hukumnya (Al-Qard Bah.2)

21 April 2012

Fekah Hukum Hakam



SISTEM PINJAMAN DALAM ISLAM (AL-QARD Bah.2)

Oleh: Noehas (www.noehas.com)


2.0 KEPELBAGAIAN JENIS HUTANG

Jika disebut perkataan hutang kemungkinan ramai yang menggambarkan tentang pinjaman wang. Sedangkan, skop hutang yang diterangkan dalam definisi di atas adalah amat luas kerana permasalahan hutang merangkumi juga masalah jual beli dan manfaat yang digunakan.

Oleh itu, untuk memahi topik hutang di dalam Islam; harus diketahui pembahagian jenis-jenis hutang. Ianya dibahagikan mengikut beberapa pandangan yang berbeza.

 

2.1 Pembahagian Jenis Hutang Mengikut Perspektif Pulangan dan Gantian

Jika hutang dibahagikan mengikut perspektif pertukaran barang maka ianya terbahagi kepada dua, iaitu:

  1. Hutang yang tujuan asalnya bukan untuk dipulangkan barang yang dihutang tetapi untuk pertukaran barang, seperti hutang dalam urusan jual-beli tertangguh dan tempahan tertangguh. Contohnya, seseorang membeli kereta tetapi dibayar secara ansuran atau tertangguh, si penjual kereta tersebut dianggap membenarkan si pembeli berhutang tetapi si penjual berharap si pembeli akan melakukan pertukaran dan gantian antara kereta dengan bayaran wang yang cukup, bukan pulangan kereta yang diharapkan oleh si penjual.
  2. Hutang yang bukan atas dasar pertukaran barang. Bahkan, hutang tersebut mesti dipulangkan samada dalam bentuk zat yang sama atau yang sejenis dan jumlah yang sama walaupun zatnya tidak sama. Ianya dikenali sebagai al-Qard atau pinjaman. Contoh pulangan pinjaman yang tidak sama zat, seorang miskin meminjam wang dan beras dari seorang kaya, maka pinjaman yang perlu dipulangkan bukanlah suatu barang yang lain sebagai gantian seperti yang berlaku dalam urusan jual beli, tetapi pinjaman tersebut mesti dipulangkan dalam jenis yang sama iaitu jumlah wang yang sama perlu dipulangkan dan jenis beras yang sama juga perlu dipulangkan. Adapun contoh pulangan yang sama zat seperti seorang pelajar meminjam cermin muka dan pemadam pensil dari kawannya, selepas cermin dan pemadam pensil tersebut digunakan maka ianya dikembalikan dalam bentuk zat yang sama sepenuhnya seperti cermin atau zat yang sudah tidak sempurna sepenuhnya seperti pemadam pensil yang dipinjam untuk digunakan.

2.2 Pembahagian Jenis Hutang Mengikut Perspektif Jual-Beli

Untuk memahami bahagian pertama pada tajuk 2.1 di atas, harus juga difahami pembahagian jual beli yang telah ditetapkan oleh para ulamak. Pembahagian tersebut ialah:

  1. Jual beli yang ditunaikan bayaran dan barang. Ianya berlaku secara tunai. Jual beli jenis ini sememangnya dibenarkan dalam Islam dan ianya adalah asal dalam urusan jual beli.
  2. Jual beli yang ditangguhkan bayaran dan barang. Ianya berlaku secara hutang dari pembeli dan penjual. Jual-beli jenis ini diharamkan dalam Islam kerana mempunyai unsur-unsur yang tidak jelas.
  3. Jual beli yang ditangguhkan bayaran dan didahulukan barang. Ianya dikenali sebagai jual beli secara al-Nasiah atau al-Ajal yang dikenali sebagai al-Bai’ Bi Thamanil Ajil iaitu jual beli dengan bayaran tertangguh. Ianya dibenarkan dalam Islam jika memenuhi syarat-syarat.
  4. Jual beli yang didahulukan bayaran dan ditangguhkan barang. Ianya dikenali sebagai jual beli al-Salam atau al-Salaf. Ianya juga dibenarkan dalam Islam jika memenuhi syarat-syaratnya.

 

2.3 Skop Penulisan

Penulisan ini akan membahaskan tentang permasalahan hutang dari sudut pinjaman sahaja iaitu jenis kedua dari tajuk 2.1 yang disebut sebagai al-Qard.

Sebelum memasuki perbincangan seterusnya, diringkaskan kembali isi tajuk ini dan tajuk sebelumnya; permasalahan hutang dalam Islam bukan hanya yang berkaitan dengan pinjaman, tetapi ianya merangkumi skop yang lebih luas seperti jual-beli tertangguh dan sebagainya. Walaupun secara umumnya hutang dibenarkan di dalam Islam tetapi ada juga hutang yang tidak dibenarkan oleh Islam. Penulisan ini akan menumpukan kepada tajuk hutang pinjaman sahaja supaya lebih khusus dan memenuhi kehendak asal penulisan ini.

 

3.0 HUTANG PINJAMAN

Hutang pinjaman yang dibincangkan dalam penulisan ini dikenali dalam kitab-kitab fiqh sebagai al-Qard (القرض). Menurut “Ayat Hutang” yang telah disebutkan di atas, al-Qard yang bermaksud pinjaman adalah jelas termasuk dalam perbincangan ayat tersebut.

 

3.1 Definisi Al-Qard

Dari sudut bahasa Arab, al-Qard berasal dari makna “pengasingan sebahagian dari sesuatu”. Dalam aspek ini, seolah-olahnya si pemberi pinjam telah mengasingkan sebahagian dari harta miliknya untuk diberi pinjam kepada si peminjam yang akan mengembalikan semula kepada si pemberi pinjam dalam tempoh tertentu.[6]

Pada sudut istilah pula, al-Qard ialah pinjaman yang dilakukan untuk sesuatu kegunaan samada dari wang ringgit atau lainnya yang akan dipulangkan samada dalam bentuk zat yang sama ataupun tidak.[7]

 

3.2 Pensyaricatan Al-Qard

Al-Qard telah disyaricatkan melalui al-Quran, al-Sunnah dan al-Ijmac. Selain “Ayat Hutang” di atas masih ada ayat al-Quran lain yang menyentuh tentang al-Qard, diantaranya firman Allah swt:

مَّن ذَا الَّذِي يُقْرِضُ اللّهَ قَرْضًا حَسَنًا فَيُضَاعِفَهُ لَهُ أَضْعَافًا كَثِيرَةً وَاللّهُ يَقْبِضُ وَيَبْسُطُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ[8]

Maksudnya: “Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik iaitu dengan mengeluarkan hartanya di jalan Allah, maka Allah akan memperlipatgandakan balasan baik kepadanya dengan lipat ganda yang banyak. Dan Allah-lah yang menyempitkan dan melapangkan rezki dan kepadaNyalah kamu akan dikembalikan.”

 

Hadis Nabi Muhammad saw juga banyak menyebut tentang al-Qard, diantaranya sabdaan Nabi Muhammad saw:

ما من مسلم يقرض مسلما قرضا مرتين إلا كان كصدقتها مرة[9]

Maksudnya: “Sesiapa dari kalangan orang Islam yang memberi pinjaman kepada orang Islam yang lain sebanyak dua kali maka seolah-olahnya dia telah memberi sedekah satu kali.”

Ulamak juga telah berijmac bahawa al-Qard adalah disyaricatkan dalam Islam.

 

3.3 Hukum Al-Qard

Hukum al-Qard bagi pemberi pinjam dan yang meminjam adalah bergantung kepada keadaan mereka. Kekadang hukumnya menjadi wajib dan kekadang menjadi sunat dan lain-lain.

 

3.3.1 Hukum Al-Qard ke Atas yang Memberi Pinjam (Al-Muqrid)

3.3.1.1 Wajib

Memberi pinjam menjadi wajib sekiranya orang yang hendak meminjam dalam keadaan terdesak untuk menyara hidupnya atau keluarganya dan si al-muqrid adalah orang yang mampu untuk memberi pinjaman.

 

3.3.1.2 Haram

Haram ke atas al-muqrid memberi pinjaman kepada orang yang diyakini akan menggunakan pinjaman tersebut untuk melakukan perkara yang haram seperti menggunakan wang pinjaman untuk berjudi dan sebagainya.

 

3.3.1.3 Sunat

Pada umumnya, sunat memberi pinjam kerana perbuatan tersebut boleh membantu menyelesaikan masalah mereka yang memerlukan.

 

3.3.1.4 Makruh

Hukum makruh akan terjadi dalam urusan memberi pinjaman sekiranya pinjaman diberi tidak mengikut keutamaan orang-orang yang ingin meminjam dan juga menjadi makruh jika diyakini bahawa orang yang meminjam akan membazirkannya.

 

3.3.1.5 Harus

Harus memberi pinjaman jika urusan tersebut bukan untuk membantu orang yang berhajat tetapi hanya sekadar tujuan tertentu seperti memberi pinjaman semata-mata supaya pinjaman tersebut terjamin keselamatannya jika diberi pinjam kepada sesiapa yang boleh dipercayai.

 

3.3.2 Hukum Al-Qard ke Atas yang Meminjam (Al-Muqtarid)

3.3.2.1 Wajib

Meminjam sesuatu keperluan menjadi wajib jika pinjaman tersebut dilakukan untuk menyelamatkan nyawa seseorang.

 

3.3.2.2 Haram

Haram ke atas seseorang yang ingin meminjam sesuatu untuk digunakan dalam perkara yang haram.

 

3.3.2.3 Sunat

Disunatkan meminjam sesuatu keperluan jika perkara itu boleh mengurangkan bebanan yang tertanggung.

 

3.3.2.4 Makruh

Makruh hukumnya jika meminjam sesuatu semata-mata untuk berlebih-lebihan dalam sesuatu perkara.

3.3.2.5 Harus

Diharuskan meminjam sesuatu keperluan sekiranya berhajat dan hajat tersebut tidak sampai ke tahap sunat atau wajib.

 

3.4 Konsep Kontrak Al-Qard

Konsep akad atau kontrak al-Qard ialah mendekatkan diri kepada Allah swt dan berbuat baik sesama insan kerana manfaat pinjaman dirasai oleh al-muqtarid, sedangkan al-muqrid hanya berjasa, berbakti dan berbuat baik kepadanya.

 

3.5 Proses Pinjaman yang Dianjurkan Islam

Agama Islam sebagai agama yang diterima oleh Allah swt dan yang bersifat al-kamal iaitu sempurna telah mengatur sistem yang terbaik untuk menjayakan proses al-Qard. Sistem tersebut diatur supaya tidak ada unsur riba dan rasuah yang diharamkan oleh Allah swt dan supaya tidak ada keraguan, penipuan, penindasan, kezaliman dan sebagainya yang boleh mencemarkan keimanan seseorang.

Diantara sistem yang telah diatur untuk melancarkan pengurusan al-Qard ialah larangan dan arahan galakan seperti yang dibincangkan di bawah ini.

 

3.5.1 Larangan Dalam Urusan Pinjaman

Untuk menjaga kebaikan semua pihak, islam telah melarang beberapa perkara dalam urusan al-Qard. Secara ringkasnya dibincangkan di bawah ini.

 

3.5.1.1 Mengenakan Syarat Bayaran Lebih

Ijmac ulamak mengatakan bahawa mengenakan syarat bayaran lebih pada pinjaman adalah haram samada lebihan tersebut dalam bentuk jumlah, sifat atau lain-lain kerana perkara tersebut dikategorikan dalam riba yang diharamkan.

 

3.5.1.2 Memberi Hadiah Sebelum Selesai Urusan Pinjaman

Kebanyakan ulamak juga berpendapat bahawa pemberian hadiah dari al-muqtarid kepada al-muqrid adalah haram jika dilakukan sebelum langsainya hutang kerana dikhuatiri ianya berunsur riba jika diniati hadiah tersebut akan menyebabkan tertangguhnya lagi tempoh pulangan pinjaman. Walaubagaimanapun, semuanya kembali kepada niat si piutang dan pemiutang.

 

3.5.1.3 Mengenakan Syarat Jual Beli Dalam Kontrak Al-Qard

Jumhur ulamak juga berpendapat bahawa pinjaman yang disyaratkan padanya jual beli dan sewa menyewa adalah haram kerana ianya berunsur penipuan atau penindasan. Hukum tersebut telah dijelaskan dalam hadith Nabi saw:

لا يحل سلف وبيع [10]

Maksudnya: “Diharamkan pinjaman yang disertai dengan syarat jual beli.”

 

3.5.2 Galakan Dalam Urusan Pinjaman

Banyak perkara yang digalakkan oleh Islam sebagai pegangan dan ajaran dalam pengurusan al-Qard. Perkara-perkara tersebut disentuh secara ringkas di bawah ini.

 

3.5.2.1 Kesaksian dan Perjanjian Bersurat

Urusan hutang pinjaman hendaklah ditulis atau disaksikan oleh saksi-saksi yang dipercayai sepertimana yang telah diperintah oleh Allah swt dalam “Ayat Hutang”.

 

3.5.2.2 Memberi Hadiah Selepas Selesai Urusan Pinjaman

Al-Muqtarid digalakan memulangkan pinjaman dengan barang yang lebih baik atau lebih dari asal sekiranya perkara itu tidak disyaratkan ketika meminjam, ianya termasuk dalam bab berbuat baik dalam berurusan dan sebagai tanda berterima kasih atas bantuan pinjaman yang telah diberikan oleh al-muqrid.

Ianya digalakkan oleh Nabi saw dengan sabdaannya:

إن خير الناس أحسنهم قضاء[11]

Maksdunya: “Sebaik-baik manusia ialah yang bagus dalam pelaksanaannya.”

 

 3.5.2.3 Peraturan Memulangkan Pinjaman

Dalam urusan pinjaman ini wajib dipulangkan pinjaman yang sama jenisnya samada barang itu lebih mahal dari waktu meminjam ataupun lebih muruah.

Sekiranya tidak dijumpai jenis barang yang sama kerana kehabisan bekalan dan seumpamanya maka hutang pinjaman tersebut mesti digantikan dengan harga semasa untuk barang itu kerana ketika itu tanggungjawab yang mesti dilaksanakan ialah gantian harga barang pinjaman.

 

3.5.2.4 Galakan Antara Bersedekah dan Memberi Pinjaman

Ulamak telah berselisih pendapat samada memberi pinjaman lebih afdal atau memberi sedekah lebih baik dari memberi pinjaman.

Pendapat yang lebih tepat dalam masalah ini ialah seperti berikut:

a)      Bersedekah kepada yang berhajat adalah lebih baik daripada memberi pinjaman kepada orang yang tidak berhajat.

b)      Sebaliknya, memberi pinjaman kepada yang memerlukan adalah lebih baik dari memberi sedekah kepada yang tidak memerlukan.

c)      Sekiranya keadaan antara kedua-duanya adalah sama-sama memerlukan maka sedekah adalah lebih afdal kerana ianya berbentuk bantuan yang ikhlas dan tidak diharapkan gantian dan seumpamanya.

Jika pinjaman yang diberi tidak dijadikan sebagai sedekah maka orang yang meminjam wajib mengembalikan pinjaman mengikut perjanjian yang telah dibuat ketika meminjam.

Sistem memulangkan pinjaman juga telah diatur oleh agama Islam dengan sempurna sepertimana yang akan dibincangkan pada tajuk-tajuk selepas ini.

 


If you enjoyed this post, please consider leaving a comment or subscribing to the RSS feed to have future articles delivered to your feed reader.
, , , , , , ,

2 Responses to “Pelbagai Jenis Hutang dan Hukumnya (Al-Qard Bah.2)”

  1. sal Says:

    saya ingin bertanya; bapa mertua saya mempunyai banyak hutang dlam bentuk wang dan barang kemas. apakah warisnya (anak lelaki) yg wajib membayar hutang tersebut, sedangkan semua wang tersebut di gunakan oleh orang lain ( maksudnya bapa mertua saya memimjam wang tersebut bagi pihak org lain).

    Reply

    • noehas Says:

      Sal, adakah bapa mertua anda:

      1.hanya sebagai wakil bagi pihak peminjam ketika bapa mertua anda meminjam dari pemberi pinjam.
      2. atau dia hanya sekadar penjamin?
      3. atau dia memang akad sebagai peminjam dari pemberi pinjam kemudian dia memberi apa yang dipinjam kepada orang lain?
      noehas recently posted..Cara Penyelesaian Hutang (Al-Qard Bah.3)My Profile

      Reply

Leave a Reply

CommentLuv badge

Follow

Get every new post delivered to your Inbox

Join other followers: