Kalau ada orang nak beli rambut anda dengan harga seberat timbangan emas, agak-agak nak tak anda jual rambut anda? Emas yang akan dibayar kepada anda ialah seberat rambut anda. Noehas rasa ramai yang mengambil keputusan untuk menjual rambutnya dan sanggup botak walaupun perempuan. Ada ker rambut paling mahal sampai tahap gaban macam tu?
Jika ada rambut yang paling mahal sampai sama harga dengan timbangan emas, sudah pasti rambut yang dibayar dengan emas tersebut kerana kegembiraan orang yang membayar. Dia sanggup mengeluarkan belanja untuk meraikan kegembiraan rambut yang dia dapat.
Begitulah Islam yang indah mengajar kita kemulian dan kegembiraan ketika mendapat anak. Islam mendidik penganutnya untuk menghargai dan bergembira dengan kelahiran anak. Anak bukan bebanan, bukan mendatangkan kesempitan hidup. Salah satu dari amalan yang diajar oleh Islam supaya dilaksanakan oleh ibu bapa yang baru mendapat cahaya mata ialah dengan mencukur habis rambut si bayi pada hari ketujuh lalu ditimbang berat rambut tersebut kemudian dinilai timbangan itu dengan harga emas semasa, jika berat rambut si bayi 1 gram maka dikeluarkan duit yang sama nilai dengan 1 gram emas. Duit tersebut disedekahkan kepada fakir miskin yang berhak menerimanya. Inilah rambut paling mahal di dunia kerana harganya sama dengan timbangan emas.
Masih ramai di kalangan masyarakat kita yang tidak tahu akan amalan ini dan tidak mengamalkannya. Ada pula sebahagian yang tahu tetapi tidak mengamalkannya kerana mentangka hadis yang menganjurkan amalan tersebut adalah hadis daif atau lemah.
Pada pandangan dan kajian Noehas, hadis yang berkaitan dengan amalan sedekah mengikut berat rambut si bayi tersebut memang ada perselisihan pendapat dalam status hadis tersebut. Masing-masing dari kalangan ulama yang mengkaji hadis itu ada hujah dan sebab tertentu untuk menerima dan menolak, semua mereka tidak keluar dari landasan ilmu hadis. Justeru, lebih baik diamalkanlah amalan tersebut sebagai tanda kegembiraan dan kesyukuran. Sifat bersedekah dan menderma kepada fakir miskin dapat melembutkan hati ibu bapa yang bersedekah dan ia sebagai tarbiah dan didikan awal kepada anak untuk mengorbankan sebahagian dari keindahan kehidupan untuk memartabatkan umat Islam dengan cara membantu meningkatkan ekonomi orang miskin yang memerlukan.
Hadis yang dibincangkan ialah hadis yang diriwayatkan dari Fatimah anak Baginda saw yang direkodkan oleh Ahmad, Tobrani dan Al-Baihaqi di dalam kitab-kitab mereka yang bermaksud “Cukurlah rambutnya dan bersedekahlah dengan perak kepada orang miskin seberat timbangan rambutnya.” Walaupun di dalam hadis tersebut disebut perak tetapi para ulama meletakkan emas pada hukum yang sama. Ramai para ulama yang menerangkan tentang sunnahnya amalan tersebut, antaranya ialah al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani, Imam Ahmad, dan lain-lain.
InsyaAllah didikan awal yang berprinsipkan pengorbanan untuk Agama akan menjadikan si bayi tersebut insan yang bermanfaat untuk ibu bapa dan umat sejagat. InsyaAllah.










25 May 2012
Fekah Hukum Hakam