BAB 3
HAKIKAT DAN CABARAN BERPOLIGAMI
3.1 PENGENALAN
Poligami adalah manis ibarat madu bagi sebahagian orang tetapi ia pahit ibarat hempedu bagi sebahagian yang lain. Itu dalam kehidupan di dunia, seterusnya untuk kehidupan di alam akhirat pula poligami boleh menjadi sebab beratnya timbangan pahala yang akhirnya akan memudahkan untuk memasuki syurga dan sebaliknya poligami juga boleh menyebabkan pengamalnya masuk ke dalam api neraka kerana gagal dalam menjaganya dari sudut peraturan syarak. Oleh sebab itu, penulis ingin membincangkan secara ringkas dalam bab ini tentang hakikat dan cabaran dalam hidup berpoligami. Bab ini menyentuh tentang hakikat pengamalan poligami dalam masyarakat Islam di Malaysia dari sudut kebaikan dan keburukan, kekangan dan cabaran dan contoh tauladan yang ditunjukkan oleh Nabi SAW dalam menjalani hidup berpoligami yang berjaya. Kemudian, pada akhir bab ini akan diberi kesimpulan dari perbincangan yang dibahaskan dalam bab ini.
3.2 KEBAIKAN DAN KEBURUKAN
Keburukan dan kebaikan poligami yang dibincangkan di sini bukanlah tentang keburukan pensyariatan poligami tetapi keburukan poligami dari sudut pandangan pengamalan yang berlaku di kalangan sebahagian masyarakat Islam di Malaysia khasnya.
Kebaikan poligami telah disentuh secara tidak langsung dalam tajuk hikmah poligami pada bab satu yang lepas. Namun, di sini penulis akan menyentuh tajuk kebaikan poligami secara langsung. Antara kebaikan poligami yang dapat dicatatkan di sini adalah seperti yang berikut:
- Poligami memberi peluang kepada kaum lelaki yang layak untuk berpoligami membuktikan ketabahan mereka dalam memikul tanggungjawab yang berat dengan cara yang baik dan diterima oleh semua isteri. Kebaikannya di sini sangat jelas kerana lahirnya dan wujudnya kaum lelaki dari kalangan umat Muhammad SAW yang bertanggungjawab. Perkara beginilah telah ditunjukkan oleh Nabi SAW dan juga sahabat-sahabat beliau yang membuktikan bahawa mereka mampu berpoligami di samping sibuk dengan urusan negara, jihad dan sebagainya.
- Poligami memberi peluang kepada isteri untuk mengurangkan tanggungjawabnya dalam memenuhi hak-hak suami kerana hak-hak tersebut telah dikongsi bersama dengan isteri-isteri yang lain.
- Poligami boleh menjadi alat untuk meramaikan umat Islam dalam sesebuah negara sama ada negara Islam seperti Malaysia atau negara kafir seperti Thailand. Perkara ini penting kerana jumlah umat Islam yang ramai mampu memberi kekuatan kepada kebangkitan umat Islam dalam menguasai pemerintahan sesebuah negara.
- Poligami yang dilakukan atas dasar ibadat akan menghasilkan pahala untuk suami dan isteri-isterinya yang mana akan menyebabkan keberkatan dan kejayaan untuk mereka di dunia dan di akhirat.
- Poligami boleh menyebabkan hubungan intim antara suami isteri semakin bertambah baik kerana setiap isteri ingin memikat hati suami supaya mereka dianggap sebagai isteri yang terbaik dari kalangan isteri-isteri yang lain.
- Poligami boleh menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh sebahagian pasangan suami isteri seperti isteri yang tidak mampu melahirkan zuriat.
- Poligami mampu menjauhkan lelaki dari melakukan maksiat kerana sebahagian lelaki mempunyai nafsu seks yang kuat yang tidak cukup dengan seorang isteri atau pun tidak boleh mengawak nafsu seksnya ketika isteri dalam keadaan haid atau nifas selain dari uzur kerana hamil dan kesihatan yang tidak mengizinkannya melayan nafsu seks suaminya.
- Poligami mampu menaiktarafkan tahap ekonomi sesebuah keluarga kerana dengan hidup berpoligami maka suami akan berusaha lebih untuk mendapatkan hasil pendapatan yang mampu untuk menampung keluarga yang ramai dan begitu juga dengan para isteri yang mempunyai waktu lapang untuk menghasilkan sesuatu produk yang boleh dijual dan sebagainya.
- Poligami mampu membela nasib ramai perempuan seperti miskin, janda, ‘andalusia’ iaitu anak dara lanjut usia dan seumpamanya.
- Poligami boleh menjadi daya tarikan untuk menarik minat orang-orang kafir supaya memeluk agama Islam. Walaupun perkara ini agak tidak diterima oleh ramai orang kerana menjadikan urusan perkahwinan sebagai alasan untuk memeluk agama Islam iaitu tidak ikhlas dalam beriman tetapi ia juga termasuk dalam kebaikan poligami jika para isteri dari kalangan Muslimat memainkan peranan sebagai isteri-isteri solehah yang mendakwahi suami mereka supaya menjadi hamba Allah SWT yang taat kepada perintah agama Islam.
- Pensyariatan poligami dan penerimaannya dalam kalangan umat Islam sama ada lelaki mahupun perempuan boleh menjauhkan kaum lelaki dari bermain ‘kayu tiga’ di belakang pengetahuan isterinya kerana sekiranya isteri menerima hukum poligami dan boleh menerima amalan tersebut maka suaminya tidak akan melakukan dan menyembunyikan hubungan dia dengan perempuan lain.
Adapun keburukan poligami dari sudut sebahagian pandangan masyarakat dan pengamalan sebahagian dari mereka yang berpoligami adalah seperti yang berikut:
- Poligami akan menyebabkan banyak pihak berdosa disebabkan pelbagai jenis perbuatan yang membawa kepada kemurkaan Allah SWT seperti berbohong, bergaduh, mengumpat dan sebagainya.
- Poligami menyebabkan sesebuah keluarga yang harmoni menjadi hancur dan kacau-bilau kerana ada pihak ketiga yang telah menggugat keharmonian tersebut.
- Poligami akan melibatkan anak-anak yang tidak berdosa dalam masalah yang dihadapi oleh suami dan isteri-isterinya seperti kurang kasih sayang, selalu mendengar pertengkaran ibu bapa dan sebagainya.
- Poligami akan membebankan suami kerana terpaksa mencari duit lebih untuk memberi nafkah kepada ramai isteri dan anak-anak yang akan menyebabkan suami tidak mempunyai waktu yang cukup untuk diluangkan bersama keluarga yang akhirnya terabai hak isteri-isteri dan anak-anak.
- Poligami memberi imej yang buruk terhadap Islam kerana ada unsur penindasan terhadap isteri dan mempunyai unsur seks yang kuat di kalangan umat Islam.
- Poligami adalah amalan yang mendorong kaum suami mengkhianati kepercayaan dan kesetiaan para isteri yang sentiasa dicurahkan kepada suami-suami mereka.
Namun semua anggapan-anggapan buruk tersebut hanya berlaku kepada keluarga yang berpoligami tanpa teori dan cara yang betul sepertimana yang dianjurkan oleh Islam dan undang-undang negara. Persepsi buruk tentang poligami yang merebak dalam negara umat Islam pada saat ini adalah merupakan akibat dari penjajahan Barat yang membawa kehendak, konsep dan budaya mereka kepada negera-negera jajahan mereka. Masyarakat di negera-negera Islam terus menerus dibayangi doktrin hipnotik yang menganggap poligami sebagai kejahatan.
Ternyata persepsi poligami di kalangan masyarakat Islam di Malaysia agak ketara perbezaannya dengan masyarakat lain di sesetengah negara lain. Sebenarnya, kita sendirilah yang menjadikan perkara yang diharuskan oleh hukum syarak ini sebagai kesakitan dan penderitaan. Antara faktor yang membawa kepada kepincangan dalam keluarga berbentuk sebegini ialah ceteknya pengetahuan dalam perkara hukum-hakam, keengganan untuk mengikut prosedur yang telah ditentukan dan emosi yang tidak dapat dikawal.
Poligami hanya akan menyebabkan keadaan rumah tangga yang lebih derita sekiranya sebelum itu ia tidak dibina dengan damai dan bahagia. Untuk sesetengah keadaan, poligami bagaikan suatu eskapisme iaitu lari daripada masalah yang sedia ada, tetapi lazimnya kesan dari poligami yang begini adalah lebih merosakkan.
3.3 KEKANGAN DAN CABARAN
Bukanlah satu perkara yang mudah untuk menghadapi dan menjalani kehidupan berpoligami. Bermula dari mengenali bakal isteri kedua hinggalah terlaksana hidup berpoligami kemudian bermula dari detik berpoligami hinggalah kekal atau hancurnya poligami tersebut, semuanya itu mempunyai kekangan dan cabaran tertentu yang akan disentuh dalam tajuk ini. Kekangan dan cabaran yang ingin dibincangkan ialah yang berkaitan dengan undang-undang di Malaysia dan persepsi serta perangai masyarakat Islam di Malaysia khasnya kaum perempuan dalam menghadapi hidup berpoligami.
Antara kekangan dan cabaran tersebut ialah seperti yang berikut:
- Sikap kebanyakan isteri yang tidak membenarkan dirinya dimadukan. Sikap ini dianggap sebagai penghalang utama bagi para suami yang ingin berpoligami. Oleh sebab itu, bermacam-macam alasan dan cara yang digunakan oleh para suami untuk mendapatkan kerelaan atau pelepasan dari isteri supaya dengan kerelaan tersebut akan memudahkan urusan poligami yang seterusnya.
- Sikap kebanyakan wanita yang tidak mahu bernikah dengan suami orang lain. Sikap ini juga menjadi halangan bagi kaum suami yang berminat kepada seseorang perempuan yang tidak mahu bermadu dengan isteri yang sebelumnya. Oleh sebab itu, timbullah masalah permintaan menceraikan isteri pertama jika mahu bernikah dengan perempuan lain.
- Undang-undang poligami di Malaysia mengetatkan jalan untuk berpoligami seperti mewajibkan untuk mendapatkan keizinan dari pihak mahkamah, perjumpaan antara suami bersama isteri serta calon isteri dan sebagainya. Perkara begini menyebabkan banyak kes nikah lari atau bernikah di luar negara terjadi.
- Isteri-isteri tidak mempunyai sifat toleransi dan tidak sefahaman dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang berbangkit serta menuntut hak masing-masing. Oleh sebab itu, banyak keluarga yang berpoligami menghadapi pelbagai cabaran di pertengahan jalan hingga menyebabkan kehancuran sesebuah institusi keluarga yang sebelumnya mungkin bahagia dan harmoni.
- Masyarakat di Malaysia sering memberi perhatian lebih kepada jiran atau kenalan yang berpoligami hinggakan kebanyakan hal ehwal dalaman dan luaran keluarga tersebut menjadi bahan perbualan dan umpatan. Justeru, secara langsung atau tidak langsung akan memberi tekanan kepada mereka yang terbabit.
- Jika pembubaran perkahwinan terpaksa dilakukan dengan sebab poligami maka proses untuk bercerai mengikut undang-undang juga bukanlah suatu perkara yang mudah kerana perceraian dianggap sah di sisi undang-undang jika dilakukan di mahkamah.
- Sebahagian negeri melaksanakan pembahagian harta sepencarian sebelum melangsungkan nikah poligami. Sudah pasti perkara ini akan mengurangkan harta suami dalam mentadbir kehidupan seharian dan keluarganya.
- Barangkali pihak tertentu kurang sedar bahawa tumpuan yang diberikan dalam menangani masalah yang timbul dari poligami adalah kurang menyeluruh. Dalam masa begitu memberi perhatian untuk membela dan mempertahankan hak sebelah pihak, mereka seakan-akan hanya menghukum dan mendera kealpaan, kecuaian dan keegoan golongan tertentu tanpa menyediakan wadah tertentu untuk membaiki mereka yang sememangnya memerlukan kepada amalan poligami.
3.4 CONTOH TAULADAN POLIGAMI NABI SAW
Tajuk ini sengaja diletakkan selepas perbincangan tentang kebaikan dan keburukan poligami serta kekangan dan cabarannya supaya contoh tauladan yang diambil dari poligami Nabi SAW ini menjadi pedoman kepada mereka yang ingin berpoligami dan juga untuk memberi jawapan kepada mereka yang menyangka bahawa poligami adalah suatu amalan yang tidak membawa kepada kebahagiaan individu, keluarga dan masyarakat.
Nabi SAW adalah manusia biasa yang menerima wahyu dari Allah SWT. Antara wahyu yang diterimanya ialah amalan berpoligami. Justeru, Nabi SAW sebagai ikutan yang terbaik harus melakukan amalan yang disyariatkan tersebut supaya mudah difahami dan dijadikan panduan untuk umat beliau.
Oleh sebab itu Nabi SAW memberi panduan yang terbaik dalam mengamalkan ayat ketiga dari surah al-Nisa’ yang membenarkan poligami dan juga monogami. Kedua-dua jenis perkahwinan tersebut telah ditunjukkan oleh Nabi SAW.
Perkahwinan jenis pertama yang telah ditunjukkan dan dijadikan panduan untuk umatnya ialah perkahwinan monogami iaitu ketika beliau bersama Khadijah radiAllahuucanha. Pada masa tersebut, Nabi SAW telah membuktikan bahawa beliau bahagia dengan hidup secara monogami walaupun Khadijah lebih tua dari beliau di samping beliau mempunyai kekuatan seks yang boleh dikongsi bersama sebelas orang isteri seperti yang dibuktikan semasa beliau berpoligami setelah kewafatan Khadijah radiAllahuanha. Justeru, amalan monogami selama bersama Khadijah ini membuktikan bahawa Nabi SAW bukanlah seorang yang gilakan perempuan dan sukakan seks semata-mata tetapi semuanya dilakukan iaitu sama ada monogami dan poligami adalah berdasarkan kepada keperluan dakwah semasa dan keperluan perempuan-perempuan yang memerlukan bimbingan dan belaan dari Nabi SAW. Baginda SAW telah bermonogami daripada umurnya dua puluh lima tahun hingga mencecah usia lima puluh tahun iaitu selepas sepuluh tahun beliau diutus menjadi Nabi dan Rasul. Ini bermakna Nabi SAW menghabiskan masa-masa mudanya sebelum beliau diutus menjadi nabi dan rasul hinggalah beliau hampir berhijrah ke Madinah dengan cara monogami.
Perkahwinan jenis kedua iaitu poligami juga telah diamalkan oleh Nabi SAW supaya dengan pengamalannya dapat menjadi contoh dan panduan kepada umatnya. Justeru, Nabi SAW dengan jelas menunjukkan bahawa beliau berpoligami bukanlah kerana nafsu seks supaya perkara tersebut diikuti oleh umatnya yang ingin berpoligami. Perkara tersebut jelas kerana Nabi SAW hanya bernikah dengan janda-janda yang kebanyakannya menjadi janda disebabkan suami mereka yang gugur syahid selain dari Aisyah RadiAllahuanha. Perkahwinan dengan janda-janda para syuhada tersebut mengajar umatnya supaya memilih isteri-isteri yang solehah yang memberi manfaat dalam kerja dakwah dan amalan agama dalam kehidupan seharian.
3.5 KESIMPULAN
Kesimpulan dari bab ini ialah kepincangan yang berlaku dalam poligami pada masa kini bukanlah kerana kesilapan sistem poligami yang disyariatkan oleh Allah SWT tetapi kepincangan tersebut berlaku dengan sebab ketidakfahaman mereka yang berpoligami dan tidak menjadikan agama dan dakwah sebagai tujuan asal mereka berpoligami. Perkara tersebut telah dibuktikan oleh Nabi SAW iaitu dalam hidup berpoligami dan bermonogami tidak menjadi halangan dalam keharmonian berkeluarga jika diamalkan dengan cara yang betul yang telah ditunjukkan oleh al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW selain daripada mengikut undang-undang keluarga Islam yang telah diatur dalam setiap negara. Sebahagian besar wanita menentang poligami. Puncanya mudah sahaja, poligami adalah berlawanan dengan cita rasa dan harapan hidup wanita yang inginkan kesetiaan dari suaminya. Penulis berpendapat, syariat Islam boleh diibaratkan seperti kedai farmasi yang menyediakan pelbagai jenis ubat untuk menyelesaikan masalah penyakit umat manusia. Justeru, sekiranya ada pembeli yang membeli ubat untuk disalahgunakan maka sudah tentu kita tidak boleh menyalahkan kedai farmasi tersebut dan sama sekali tidak patut kita menganggap bahwa kedai tersebut sudah tidak relevan lagi untuk umat manusia. Begitulah dengan poligami, jangan kerana ada segelintir umat manusia yang menyalahgunakan hukum harus berpoligami menyebabkan amalan poligami dan syariat Islam dipersalahkan dan dianggap tidak adil dan tidak relevan untuk umat masa kini.
BAB 4
RUMUSAN DAN CADANGAN
4.1 PENGENALAN
Setelah pelbagai bab dan tajuk disusun untuk membincangkan tentang poligami maka seterusnya bab yang terakhir ini akan merumuskan kesimpulan dari seluruh tajuk dalam kertas kerja ini dan akan memberi sedikit cadangan supaya amalan poligami dapat berjalan dengan lancar bagi mereka yang ingin mengamalkannya.
4.2 RUMUSAN
Berdasarkan kepada perbincangan di atas, beberapa kesimpulan dapat dirumuskan iaitu:
- Poligami iaitu amalan beristeri lebih dari seorang adalah amalan yang disyariatkan oleh Allah SWT dan telah diamalkan oleh Nabi SAW dan perkara tersebut telah diterima oleh semua ulama iaitu telah berlaku ijmak ulama terhadap hukum bolehnya poligami.
- Poligami yang dilaksanakan mengikut cara, teori dan ketentuan yang betul akan memberi banyak manfaat dan faedah untuk individu, keluarga, masyarakat dan umat sejagat. Selain itu, konsep-konsep poligami harus dihayati oleh mereka yang berpoligami supaya maksud dan tujuan berpoligami yang dicadangkan oleh Islam seperti keharmonian dan keadilan dapat direalisasikan.
- Poligami menjadi bukti kesempurnaan hukum Islam kerana dapat mebantu mengelakkan manusia daripada melakukan zina dan perlakuan membela perempuan simpanan yang pastinya menzalimi diri dan wanita tersebut. Namun begitu poligami diharuskan untuk dinikmati dan digunakan dengan penuh tanggungjawab. Ukuran tanggungjawab digariskan dengan terang melalui amalan keadilan. Adil di sini menyentuh soal giliran, pemberian nafkah zahir dan batin, makan-minum, pakaian, jaminan keselamatan dan tempat tinggal. Justeru itu, haram berpoligami bagi lelaki yang tidak dapat memenuhi tuntutan tersebut.
- Poligami bukanlah dipelopori oleh agama Islam semata-mata sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah masyarakat Islam dan bukan Islam. Ia sebenarnya telah diamalkan zaman berzaman oleh masyarakat China, Yunani, Hindu, Kristian dan Yahudi.
- Syarat yang ketat ditetapkan dalam undang-undang keluarga Islam di Malaysia bukanlah bertujuan mengharamkan poligami. Ia dirangka bagi menjaga ketenteraman rumah tangga dan mengelak dari penindasan serta kezaliman suami terhadap isteri. Ia juga bagi mengelakkan timbulnya fitnah dan polemik dalam masyarakat yang akan merendahkan martabat agama Islam. Kaedah fiqh ada menyebut:
تَصَرُّفُ اْلإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوْطٌ بِالْمَصْلَحَةِ
Maksudnya: Pemerintah hendaklah bertanggungjawab meletakkan maslahah negara dan kepentingan rakyat dalam dasar pentadbiran dan pemerintahannya.
- Penalti atau denda yang dikenakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang poligami di Malaysia adalah berbeza mengikut negeri. Sebahagiannya menetapkan hukuman yang agak berat, sebahagiannya menetapkan hukuman yang dianggap ringan dan sebahagiannya tidak ada penetapan khas.
- Kecacatan poligami sebenarnya bukanlah dari segi prinsip tetapi lebih kepada perlaksanaannya oleh sesetengah lelaki yang menyimpang dari landasan syariat. Ini terbukti daripada statistik menunjukkan bahawa 80 peratus pengadu yang mengadu masalah rumah tangga terdiri daripada kaum wanita. Ia secara tidak langsung memberi pengertian bahawa krisis rumah tangga berpunca daripada kelalaian pihak suami. (http://www.islam.gov.my/portal/pdf/PoligamiPPUU.pdf)
- Poligami bukanlah satu amalan yang wajib tetapi ia hanya satu pensyariatan yang menjadi pilihan untuk mereka yang memerlukannya sahaja. Oleh sebab itu, syarat-syarat dan peraturannya adalah sangat menitikberatkan keadilan dan kemampuan.
- Kaum perempuan yang tidak suka akan poligami tidak boleh membecinya dan menentangnya dari sudut hukum dan pensyariatan kerana ia boleh membawa kepada dosa besar tetapi mereka boleh menolak poligami untuk lelaki yang tidak layak untuk berpoligami.
4.3 CADANGAN
Penulis ingin memberi beberapa cadangan kepada pihak yang ada kaitan dengan amalan poligami. Cadangan-cadangan tersebut bukanlah satu perkara yang baru tetapi untuk saling ingat memperingati dan dalam konteks perbincangan. Cadangan-cadangan tersebut adalah seperti yang berikut:
- Setiap lelaki yang ingin berpoligami harus memahami konsep dan tata tertib poligami yang berjaya.
- Setiap pernikahan, khasnya pernikahan poligami mestilah mengikut undang-undang negara supaya masa depan setiap keluarga lebih terjamin.
- Setiap isteri pertama yang ingin dimadukan haruslah berbincang secara baik dengan suami supaya masalah yang timbul dapat diselesaikan dengan baik dan mungkin akan membatalkan niat poligami si suami.
- Setiap perempuan yang ingin bermadu dengan isteri orang haruslah lebih mengalah kerana dia telah mengambil hak saudaranya.
- Pihak bertanggungjawab tempatan yang menguruskan hal ehwal perkahwinan haruslah memberi kursus khusus untuk mereka yang ingin berpoligami sepertimana kursus perkahwinan diwajibkan untuk mereka yang ingin berkahwin. Kursus poligami tersebut akan mendedahkan keperitan dan tanggungjawab yang besar yang harus dipikul oleh suami yang berpoligami selain dari kenikmatan dan keseronokan yang dikecapinya. Justeru, kursus sebegitu akan memberi kesedaran kepada kaum lelaki yang ingin berpoligami hanya untuk berseronok dan kursus sebegitu juga akan mengurangkan masalah-masalah yang timbul disebabkan oleh poligami yang tidak sihat.
- Pihak media massa harus memberi ruang untuk membincangkan masalah poligami dengan cara yang sihat dan berilmiah. Selain itu, pendedahan tentang keluarga berpoligami yang harmoni harus ditonjolkan. Begitu juga dengan filem-filem dan bahan-bahan bacaan yang dihasilkan haruslah mendorong masyarakat supaya memahami konsep poligami yang sebenar supaya ia tidak disalahgunakan oleh kaum lelaki, tidak dibenci oleh kaum perempuan dan tidak menjadi bahan yang digunakan untuk mencemarkan nama baik agama Islam dan umatnya.
4.4 PENUTUP
Matlamat perkahwinan ialah untuk mewujudkan suasana ‘keluargaku syurgaku’. Justeru, sekiranya poligami dapat merealisasikan matlamat tersebut maka dipersilakan untuk diamalkan. Sebaliknya, jika poligami menjadi sebab berlakunya ‘keluargaku cukaku’ maka dinasihati supaya jangan melakukannya kerana nikmat yang sudah ada di hadapan mata iaitu isteri dan keluarga yang sedia ada haruslah lebih dihargai dan dijaga dengan baik, jangan sampai jadi seperti ‘anjing dengan bayang-bayangnya’ yang akan menyebabkan ‘apa yang dikejar tidak kesampaian dan apa yang dipikul berciciran’.
RUJUKAN
Al-Quran al-Karim.
Haji Dusuki bin Haji Ahmad. 1975. Poligami dalam Islam. Kuala Lumpur: Pustaka al-Hilal.
Ismacil bin Kathir. 2004. Tafsir al-Qur’an al-CAzim. Al-Riyadh: Dar CAlam al-Kutub.
Kamus Dewan. 2007. Ed.4. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pusaka.
Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha & CAli al-Syaryahi. 2000. Al-fiqh al-manhaji cala mazhab al-Imam al-Syafici. Damsyiq: Dar Al-Qalam.
Mustaffa Suhaimi. 2004. Poligami seorang lelaki untuk ramai perempuan monogami seorang lelaki untuk seorang perempuan. Kuala Lumpur: Progressive Publishing House.
Sahlawati binti Abu Bakar. 2004. Kefahaman wanita muslim di Malaysia terhadap konsep poligami di dalam islam: kajian kes di Selangor. Bangi: UKM.
Yahya bin Syaraf al-Nawawi. 2005. Minhaj al-talibin
http://www.islam.gov.my/portal/pdf/PoligamiPPUU.pdf
Tamat…. Alhamdulillah.








17 April 2012 at 5:08 PM
manis kah kurma itu….? heee manisnya madu…bila menyentuh soal bermadu atau poligami maka akan ramai kaum wanita yang agak marah sehingga mereka sanggup menidakkan kemanisan madu…bila aku kata “manis”…mereka jawab sebab aku isteri kedua, sebenarnya isteri pertama ke kedua ke ketiga ke atau ke empat ke…poligami tetap poligami perjalanan dia sama saja…kalau kita nak buat dia manis maka manis lah dia kalau kita nak buat dia pahit maka pahitlah kita…apa pun tepuk dada tanya iman…bagi diriku selama 12 tahun hidup berbagi suami alhamdulillah alhamdulillah sehingga saat ini, aku sangat bahagian…TQ Allah moga bahagia di dunia bawa ke akhirat…aamiinnnn
17 April 2012 at 5:14 PM
bahagia…90% rakan2 yang mengadu damba dengan ku tentang masalah rumahtangga mereka dan sebahagian dah tahap kritikal, percaya atau tidak, mereka itu semua tidak bermadu…kalau kita mahu bahagia dalam rumahtangga, kena lah banyak bertolak ansur…give n take…rela merelakan, terima se adanya…letakkan jiwa kita pada yang Satu Allah SWT…inshaAllah aman…Ya Allah jangan lah kau duga sesuatu yang aku tidak mampu…aaminnn
17 April 2012 at 10:43 PM
Komen yang menarik dari kak siti jutawan tudung pemilik http://sweetkurma.com/
noehas recently posted..Ustaz Power dan Ustazah Powerah
15 February 2013 at 2:06 PM
akak sweetkurma, w/pun saya dah 18bln hidup bermadu sebagai isteri ke 2 tetapi madu pertama baru 2 bln saja tahu tentang kami. Syukur wpun peringkat permulaan madu 1 berperang besar dengan suami tetapi sekarang kami seperti adik beradik kerana sebelum madu 1 tahu, perkahwinan kami sudahpun direstui oleh keluarga suami & saya. Cumanya atas masalah kesihatan madu 1 maka perkahwinan kami sebelum ini terpaksa dirahsiakan untuk sementara. Sekarang kami sudah ada anak lelaki berusia 7 bln. Suami mempunyai 2 ank perempuan berusia 19 & 17 dgn madu 1 m/kala saya ada 3 ank dari perkahwinan pertama. Suami sangat bertanggungjawab menjadi seorang imam dalam masjid besar kami. Syukur pada Allah kerana telah memudahkan segala urusan kami dan dlm tempoh yang singkat semua masalah perkahwinan rahsia kami telah selesai dan sudah dihebahkan pada semua saudara. Saya serahkan seluruh jiwa & raga saya pada Allah, biarlah DIA yang tentukan yang terbaik untuk saya. Saya redha dengan kehidupan sekarang, antara kami saling bertolak ansur dan saya sangat bahagia dengan keluarga besar saya. Semoga Allah sentiasa murahkan rezeki suami, panjangkan umurnya & diberikan kesihatan yang baik supaya sentiasa akan menjadi imam yang terbaik dalam keluarga kami.
Amin Ya Rabbal Allamin…
16 February 2013 at 12:00 AM
azienawfal, Alhamdulillah.. Semoga bahagia hingga ke syurga.