leaderboard denaihati Banner

Syurga Hidup Berpoligami Hakikat dan Cabaran (Bhg 1)

29 February 2012

Isu Semasa



Bahan ini asalnya adalah pembentangan Noehas di kelas pengajiannya. Oleh kerana tulisan ini agak panjang, kurang sesuai dengan gaya penulisan blog maka Noehas membahagikannya kepada 3 bahagian.

BAB 1

POLIGAMI DARI PERSPEKTIF ISLAM

 

1.1  PENDAHULUAN

Poligami adalah perkataan yang sinonim dengan kaum lelaki dan agama Islam dan ia juga perkataan dan amalan yang dibenci serta ditakuti oleh sebahagian yang lain khasnya dari kaum wanita sama ada yang beragama Islam atau dari kalangan orang kafir. Selain itu, poligami telah dijadikan isu perbahasan untuk memburukkan imej agama Islam dan penganutnya. Sebaliknya pula, poligami juga dijadikan hujah dan alasan atas kebenaran agama Islam kerana ia selaras dengan naluri manusia mengikut keperluan individu tanpa mewajibkannya ke atas setiap umat Islam, apatah lagi ianya dibolehkan dengan bersyarat dan beretika. Justeru, umat Islam tidak boleh dikatakan sebagai masyarakat yang berbilang isteri kerana amalan poligami hanya berlaku dalam beberapa golongan kecil sahaja. Bertitik tolak dari permasalahan di atas maka penulis membuat penerangan ringkas dalam penulisan ini tentang poligami dari sudut definisi, sejarah, hukum, konsep, sebab serta hikmah poligami dan teori poligami yang berjaya dalam bab yang pertama penulisan ini. Kemudian, penulis menyentuh secara ringkas tentang undang-undang poligami di Malaysia, pengamalannya di kalangan masyarakat di Malaysia dan proses yang perlu dilalui untuk hidup berpoligami mengikut undang-undang keluarga Islam Malaysia dalam bab yang kedua. Seterusnya, dalam bab yang ketiga penulis membahaskan secara ringkas tentang keburukan dan kebaikan hidup berpoligami mengikut perspektif masyarakat, kekangan dan cabaran berpoligami dan contoh tauladan dari poligami Nabi SAW. Akhir sekali, penulis akan menutup kajian ini dengan rumusan dan cadangan yang boleh dijadikan sebagai idea kepada pihak-pihak yang berkaitan dengan poligami sama ada yang berminat untuk mengamalkan poligami atau pihak pemerintah. Semoga kajian  ringkas ini dapat menyumbang dalam menangani kesalahfahaman masyarakat terhadap amalan poligami. Selain dari mendedahkan kepada mereka tentang proses sebenar untuk berpoligami di Malaysia yang menggambarkan tentang keprihatinan penguatkuasa syariah di Malaysia dalam mengurangkan masalah yang timbul disebabkan oleh pihak yang mengamalkan poligami tanpa memahami konsep, hikmah dan tujuan berpoligami.

 

1.2 DEFINISI POLIGAMI

Menurut Kamus Dewan (2007: 1222), poligami bermaksud amalan beristeri lebih daripada satu orang pada masa yang sama.

Dalam bahasa Arab pula poligami disebut sebagai tacaddudu al-zaujat iaitu berbilang-bilang isteri. Penulis tidak menjumpai setakat ini sebarang kitab dalam bahasa Arab mendefinisikan perkataan tersebut secara terperinci sebagaimana yang biasa dilakukan oleh pengarang-pengarang kitab Arab dalam menerangkan sesuatu perkara atau hukum. Mungkin disebabkan perkataan yang telah jelas tanpa penerangan dengan definisi tertentu.

Sebaliknya, amalan berkahwin dengan satu orang sahaja pada sesuatu masa disebut sebagai monogami. (Kamus Dewan 2007: 1041)

Menurut definisi syarak, poligami atau tacaddudu al-zaujat adalah amalan bernikah dengan memperisterikan wanita lebih dari seorang dan tidak melebihi empat orang mengikut syarat-syarat tertentu yang berkaitan dengan pernikahan tersebut. Definisi dari sudut syarak juga belum dijumpai setakat ini dalam mana-mana kitab termasuklah buku atau kajian ilmiah di peringkat sarjana yang membahaskan tentang poligami. Mungkin kerana definisi dari sudut bahasa telah cukup untuk menerangkantentang poligami. Tetapi mengikut pendapat penulis, definisi dari sudut bahasa belum cukup untuk menggambarkan tentang poligami dari sudut syarak kerana poligami dalam syariat Islam mempunyai sistem tersendiri yang mesti disebut secara rambang atau ringkas dalam definisi tersebut.

 

1.3 SEJARAH POLIGAMI.

Poligami bukanlah amalan yang dimulakan oleh syariat Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Sebenarnya ia telah bermula sebelum kedatangan Muhammad SAW lagi tetapi Islam datang dengan mengatur cara poligami dengan cara yang terbaik supaya ia tidak disalahguna dan tidak berlaku penganiyaan terhadap wanita dan anak-anak, bahkan ketika Islam datang membawa hukum-hukum tentang poligami masyarakat pada ketika itu telah biasa dan lumrah dalam mengamalkan poligami tetapi tanpa batasan dan peraturan.

Contohnya di negara-negara barat, sejarah di sana membuktikan bahawa poligami diamalkan oleh mereka dengan berleluasa walaupun undang-undang negara mencegahnya hingga memaksa kerajaan menggubal undang-undang mengharuskan poligami dengan syarat-syarat tertentu yang tidak adil dan zalim terhadap pihak isteri kedua dan seterusnya seperti mengharamkan mereka anak-anak dari mewarisi harta pusaka dan dijadikan atau dianggap seperti hamba sahaya hingga menyebabkan keadaan keluarga semakin teruk dan kucar-kacir kerana wanita hanya dijadikan alat untuk pemuas nafsu, tidak lebih dari itu kerana tiada langsung peraturan untuk menjaga kebaikan pihak isteri kedua dan seterusnya. Jika dilihat amalan poligami mereka maka jelaslah keindahan sistem poligami yang diatur oleh syariat Islam.

Begitu juga dengan masyarakat Romawi di zaman purba hinggalah kepada zaman pertama pemerintahan Kaisar, mereka menerima amalan poligami sevagai adat dan kebiasaan yang halal. Oleh sebab itu kebanyakan Kaisar dan rakyatnya memiliki ramai isteri, bahkan tidak ada paderi atau gereja yang menghalang perbuatan begitu dan paderi-paderi menikahkan penganut agamanya yang berpoligami tanpa sebarang bantahan. Perkara tersebut telah menjadi amalan mereka hinggalah Kaisar yang bernama Justinianus telah melarang amalan poligami yang akhirnya melahirkan budaya pelacuran dan hubungan haram di kalangan rakyatnya.

Tidak ketinggalan juga masyarakat di Timur seperti India dan Cina yang mengamalkan ajaran agama Hindu dan Budha. Walaupun agama tesebut sangat memandang rendah terhadap wanita hingga meletakkan mereka setaraf dengan racun dan penyakit bagi kaum lelaki tetapi penganut agama mereka tetap mengamalkan poligami dengan berleluasa kerana naluri mereka tidak menerima ajaran yang menolak hidup secara berkeluarga yang dianjurkan oleh agama Hindu dan Budha. Lebih dahsyat lagi, amalan di Cina yang mengiktiraf amalan menyimpan gundik iaitu perempuan-perempuan simpanan yang dianggap seperti isteri yang akan melahirkan keturunan yang ramai dan akan megembirakan roh-roh nenek moyang mereka.

Sama juga dengan kaum Yahudi dan Parsi yang tidak asing lagi amalan poligami dalam masyarakat mereka. Bezanya ialah kaum Yahudi mempunyai peraturan yang agak lebih bagus dari bangsa Parsi dalam berpoligami tetapi kaum Yahudi tidak mematuhi peraturan tersebut dan mereka mengamalkan poligami mengikut sesuka mereka tanpa sebarang batasan. (Dusuki 1975: 2-7)

 

1.4 HUKUM POLIGAMI DALAM SYARIAT ISLAM

Poligami dibenarkan dalam Islam tetapi setiap perkara yang terkandung dalam syariat sudah pasti berasaskan syarat-syarat dan peraturan-peraturan tertentu supaya setiap perkara yang disyariatkan tidak disalahgunakan dan tidak dijadikan bahan bukti untuk memburukkan agama Islam dan umatnya. Pensyariatan poligami adalah berdasarkan dalil dari al-Quran, hadis dan ijmak ulama.

 

1.4.1 Hukum Harus Berpoligami

Hukum asal dalam poligami adalah harus iaitu dibolehkan tetapi hukum tersebut boleh bertukar menjadi sunat, makruh atau haram mengikut sesuatu keadaan.

Dalil dari al-Quran yang mengharuskan poligami ialah firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat ketiga yang berbunyi:

وَإِنْ خِفْتُمْ أَلاَّ تُقْسِطُواْ فِي الْيَتَامَى فَانكِحُواْ مَا طَابَ لَكُم مِّنَ النِّسَاء مَثْنَى وَثُلاَثَ وَرُبَاعَ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلاَّ تَعْدِلُواْ فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ذَلِكَ أَدْنَى أَلاَّ تَعُولُواْ

Maksudnya: Jikalau kamu berasa takut kerana tidak berlaku adil terhadap anak-anak yatim (perempuan yang kamu jaga dan ingin berkahwin dengan mereka untuk mendapatkan harta mereka) maka nikahilah sesiapa yang baik untuk kamu daripada kalangan wanita (yang lain) sama ada dua, tiga dan empat orang. Justeru jika kamu berasa takut kerana tidak berlaku adil maka memadailah dengan seorang isteri sahaja atau sesiapa yang kamu miliki dari kalangan hamba sahaya. Perkara yang demikian adalah lebih hampir untuk kamu tidak melakukan kezaliman. (Terjemahan ayat-ayat al-Quran dan hadis dalam penulisan ini adalah dibuat oleh penulis sendiri dengan hanya merujuk kitab Tafsir Ibn Kathir yang berbahasa Arab)

 

Dalil kedua dari al-Quran juga ialah firman Allah SWT dalam surah yang sama pada ayat keseratus dua puluh sembilan yang berbunyi:

وَلَن تَسْتَطِيعُواْ أَن تَعْدِلُواْ بَيْنَ النِّسَاء وَلَوْ حَرَصْتُمْ فَلاَ تَمِيلُواْ كُلَّ الْمَيْلِ فَتَذَرُوهَا كَالْمُعَلَّقَةِ وَإِن تُصْلِحُواْ وَتَتَّقُواْ فَإِنَّ اللّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: Dan kamu tidak akan mampu berlaku adil terhadap kalangan isteri-isteri walaupun kamu bersungguh-sungguh melakukannya. Justeru, janganlah kamu cenderung dengan segala kecenderungan kepada seseorang sedangkan kamu meninggalkan yang lain seperti isteri yang tergantung. Dan sekiranya kamu berbaik-baik dan bertakwa maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun Maha Penyayang.

 

Selain dari dua ayat al-Quran di atas, terdapat ayat-ayat al-Quran lain yang menyentuh tentang poligami yang diamalkan oleh Nabi SAW. Antaranya ialah ayat kelima puluh dua dari surah al-Ahzab yang berbunyi:

لاَ يَحِلُّ لَكَ النِّسَاء مِن بَعْدُ وَلاَ أَن تَبَدَّلَ بِهِنَّ مِنْ أَزْوَاجٍ وَلَوْ أَعْجَبَكَ حُسْنُهُنَّ إِلاَّ مَا مَلَكَتْ يَمِينُكَ وَكَانَ اللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ رَّقِيبًا

Maksudnya: Tidak dibenarkan untuk engkau wahai Muhammad mengahwini wanita-wanita selepas ini dan tidak menukar isteri-isteri yang sedia ada dengan wanita-wanita tersebut walaupun kecantikan mereka menakjubkan engkau tetapi engkau boleh menambah hamba sahaya dan Allah adalah mengawasi ke atas setiap perkara.

 

Dalam hadis nabawi pula disebutkan tentang poligami dari banyak sudut. Antaranya ialah perbuatan Nabi SAW sendiri yang berpoligami selepas kewafatan Khadijah RadiAllahucanha. Baginda SAW telah memperisterikan sebelas orang perempuan pada satu waktu, mereka ialah Saudah binti Zumucah, Aisyah binti Abu Bakar, Hafsah binti ucUmar, Zainab binti Khuzaimah, Ummu Salamah binti Abu Umayyah, Zainab binti Jahsy, Juwairiyyah binti al-Harith, Ummu Habibah, Sofiyyah binti Huyyai Maimunah binti al-Harith dan Mariyah al-Qibtiyyah radiAllahuucanhunna ajmaucin.

Nabi SAW juga memerintahkan sahabatnya yang mempunyai isteri yang lebih dari empat orang semasa zaman jahiliahnya supaya memilih dan mengekalkan empat orang sahaja. Antara sahabat-sahabat tersebut ialah Ghailan al-Thaqafi, Naufal bin Muawiyah dan Qayis bin al-Harith radiAllahuucanhum. Dalam kisah Qayis bin al-Harith, beliau telah berkata:

أسلمت وعندي ثمان نسوة فذكرت ذلك للنبي صلى الله عليه وسلم، فقال النبي صلى الله عليه وسلم: ((اختر منهن أربعا)).

Maksudnya: Ketika aku memeluk Islam aku mempunyai lapan orang isteri maka aku menceritakan perkara tersebut kepada Nabi SAW lalu Baginda bersabda: “pilihlah antara mereka empat orang sahaja”. (Sunan Abi Dawud: Al-Talaq)

 

1.4.2 Hukum Sunat Berpoligami

Namun hukum harus yang telah disebutkan di atas akan bertukar menjadi sunat atau digalakkan sekiranya lelaki atau si suami berhajat untuk menambah isteri kerana tidak cukup untuknya seorang isteri dari sudut seks atau sebagainya, begitu juga jika isteri sakit atau mandul sedangkan si suami tersangat inginkan anak disamping si suami amat yakin mampu memberi keadilan dalam berpoligami. Sekiranya begini keadaannya maka disunatkan untuk lelaki tersebut berpoligami kerana adanya kebaikan yang dibenarkan oleh syarak dalam situasi begitu. Oleh sebab itu ramai para sahabat Nabi SAW telah berpoligami kerana mereka termasuk dalam keadaan atau kategori begini.

 

1.4.3 Hukum Makruh Berpoligami

Poligami menjadi makruh sekiranya dilakukan tanpa sebarang hajat iaitu semata-mata untuk menambah kenikmatan dan bersuka-suka dan si lelaki bersifat syak tentang kudratnya dalam mewujudkan keadilan diantara isteri-isterinya. Poligami yang begini adalah makruh dan tidak digalakkan kerana dasarnya hanyalah untuk suka-suka dan kemungkinan akan berlaku kemudaratan dalam poligaminya kerana si suami tidak mampu berlaku adil dalam berpoligami. Hukum ini juga bersandar kepada hadis Nabi SAW yang berbunyi:

دع ما يريبك إلى ما لا يريبك

            Maksudnya: Tinggalkan apa yang kamu syak dan ambillah apa yang kamu tidak syak. (Sunan al-Tirmizi: 2520)

 

1.4.4 Hukum Haram Berpoligami

Sekiranya seseorang lelaki beranggapan atau cenderung atau yakin bahawa dia tidak mampu berlaku adil berpoligami sama ada disebabkan kemiskinan, kelemahan seks atau tidak percaya dengan dirinya sendiri maka hukum berpoligami dalam keadaan begini adalah haram kerana terdapat kemudaratan terhadap orang lain sedangkan Nabi SAW telah melarang mendatangkan sebarang kemudaratan sama ada untuk diri sendiri atau terhadap orang lain dalam sabdaan Baginda:

لا ضرر ولا ضرار

            Maksudnya: Tidak dibenarkan sebarang kemudaratan. (Sunan Ibni Majah: Kitab Al-Ahkam)

Begitu juga ayat dalam surah al-Nisa’ ayat ketiga yang telah disebutkan di atas melarang poligami jika boleh memudaratkan. (Mustafa Khin dll 2000: 31-32)

 

1.4.5 Hukum Wajib Berpoligami

Setakat ini penulis belum menjumpai pendapat para ulama yang meletakkan poligami dalam kategori wajib dalam keadaan atau situasi tertentu. Namun mengikut pendapat penulis, hukum wajib ini boleh juga berlaku sepertimana hukum wajib boleh berlaku dalam urusan nikah yang pertama iaitu sepertimana hukum nikah adalah harus dan boleh berubah kepada sunat, makruh, haram dan wajib maka begitu juga halnya dalam bab poligami kerana punca atau sebab berlakunya wajib berpoligami boleh juga berlaku sepertimana bolehnya berlaku hukum wajib bernikah. Penulis berpendapat bahawa jika seorang suami mampu berpoligami dari sudut seks dan ekonomi dan dia yakin mampu untuk berlaku adil dalam berpoligami serta mempunyai kekuatan seks yang luar biasa yang tidak cukup dengan seorang isteri bahkan kemungkinan besar si suami tersebut akan melakukan zina dan sebagainya maka jatuhlah hukum wajib berpoligami di sini supaya menjauhkan dirinya dan orang lain dari terlibat dengan zina dan akhirnya akan merosakkan diri, masyarakat dan negara.

Begitu juga jika dalam keadaan bilangan perempuan melebihi dari jumlah kaum lelaki sedangkan kaum wanita tersebut telah mencapai tahap ingin berkahwin sedangkan tidak terdapat lelaki yang layak berkahiwn kerana unsur umur, seks atau ekonomi dan kaum wanita tersebut kemungkinan besar akan melakukan zina kerana keinginan nafsu yang tidak dapat diarahkan pada tempat yang halal dan betul maka jatuhlah hukum wajib ke atas kaum lelaki yang berhak dan layak untuk berpoligami menikahi wanita yang mempunyai masalah tersebut.

 

1.5 KONSEP POLIGAMI DALAM ISLAM

Maksud, tujuan dan matlamat poligami dalam Islam dapat dilihat melalui konsep poligami yang dibincangkan dalam pelbagai perbahasan, antaranya ialah seperti yang berikut:

  1. Islam hanya membenarkan poligami yang tidak melebihi empat orang isteri dan amalan ini hanya untuk mereka yang layak sahaja seperti mereka yang mampu dan boleh berlaku adil terhadap isteri-isteri mereka.
  2. Sekiranya poligami seramai lebih dari empat orang dilakukan serentak dalam satu masa maka pernikahan tersebut batal semuanya mengikut mazhab al-Syafici kerana tidak berhak menggugurkan salah seorang dari mereka. Namun, jika poligami lebih dari empat orang dijalankan tidak serentak maka yang sah hanyalah empat orang pertama, adapun yang kelima dan seterusnya adalah tidak sah. (Al-Nawawi 2005: 449-450)
  3. Poligami bukanlah perkara yang diwajibkan atau digalakkan tetapi ia hanya untuk hal-hal tertentu sahaja seperti suami yang berjauhan dalam perantauan, isteri tidak boleh memberi zuriat sama ada secara mutlak atau zuriat tertentu iaitu tidak melahirkan anak berlainan jantina lelaki dan perempuan dan sebagainya.
  4. Poligami bukanlah amalan yang dilakukan untuk berseronok semata-mata tetapi ia adalah satu amanah dan tanggungjawab yang berat ke atas kaum lelaki yang bergelar suami berpoligami.
  5. Syariat menekankan syarat adil dalam poligami. Adil yang dimaksudkan di sini adalah dalam beberapa aspek antaranya ialah adil dalam memberi nafkah zahir seperti perbelanjaan, tempat tinggal dan giliran bermalam di kalangan para isteri disertai dengan jalinan yang baik selain dari melaksanakan tanggungjawab yang wajib terhadap isteri seperti menjaga kesihatan, keselamatan dan pembelajaran agama.
  6. Adapun keadilan dalam kasih sayang dan cinta maka ianya tida boleh diukur untuk menentukan keadilan. Justeru, tidak mengapa jika tidak berlaku adil dalam mencurahkan kasih sayang sepertimana yang telah disebutkan dalam ayat al-Quran dalam surah al-Nisa’ ayat 129 yang telah disebutkan di atas. Begitu juga dalam hadis Nabi SAW, Baginda pernah mengadu kepada Allh SWT tentang keadilan dalam nafkah dan keadilan dalam kasih sayang. Aduannya berbunyi:

اللهم إن هذا قسمي فلا تلمني فيما تملك ولا أملك

Maksudnya: Ya Allah! Sesungguhnya inilah pembahagian yang aku mampu berikan (nafkah, giliran bermalam dan lain-lain), maka janganlah Engkau mencerca aku dalam perkara yang Engkau miliki tetapi aku tidak memilikinya (urusan hati dalam kasih sayang dan sebagianya). (Abu Daud: 2134)

  1. Namun, kasih sayang yang membawa kepada ketidak adilan dalam memberi nafkah dan sebagainya maka kasih sayang begitu adalah dilarang.
  2. Poligami mampu menyelesaikan sebahagian dari masalah umat seperti jumlah perempuan yang lebih ramai dari lelaki dan masalah hubungan yang tidak halal dan juga masalah HIV dan sebagainya.
  3. Poligami yang dilaksanakan dengan tertib dan peraturan yang betul akan membantu dalam melahirkan keluarga yang memiliki ‘rumahku syurgaku’ bukan ‘rumahku cukaku’.
  4. Sebab-sebab berlakunya poligami mengikut syariat juga harus diperhatikan supaya poligami tidak disalahgunakan oleh umat Islam yang tidak faham konsep poligami yang akhirnya akan memburukkan pandangan orang lain khasnya dari golongan kafir tentang poligami yang dianjurkan oleh Islam.
  5. Poligami yang mengikut peraturan yang ditetapkan oleh syarak akan mendatangkan keberkatan dalam kehidupan.
  6. Berpoligami tidak semudah bernikah kerana nikah hanya membabitkan beberapa pihak sahaja sedangkan poligami membabitkan lebih banyak pihak. Selain itu, pernikahan adalah perkara yang diraikan dan diterima oleh semua orang tetapi perkara tersebut tidak berlaku terhadap poligami.

 

1.6 HIKMAH DAN SEBAB DIBOLEHKAN POLIGAMI DALAM ISLAM

Poligami mempunyai hikmah tersendiri jika dibandingkan dengan monogami walaupun sebahagian akal manusia menafikan hikmah dan kelebihan poligami. Hikmah-hikmah tersebut ialah kerana poligami adalah perkara yang disyariatkan oleh Allah SWT yang mengetahui baik dan buruk untuk para hamba-Nya. Antara hikmah berpoligami yang sebahagiannya juga adalah merupakan sebab-sebab dibolehkan poligami dalam Islam adalah seperti yang berikut:

  1. Kaum lelaki mempunyai pilihan untuk berpoligami atau tidak adalah mengikut keperluan individu. Pilihan yang diberikan ini sudah pasti membuka dan melapangkan jalan untuk kebaikan serta menutup pintu keburukan mengikut keperluan seseorang. Jelaslah di sini hikmah yang sangat penting dalam menangani masalah masyarakat sejagat.
  2. Imbangan jumlah wanita yang melebihi dari jumlah lelaki. Bancian telah dilakukan dalam banyak negara dan hasilnya ialah kaum wanita lebih ramai dari kaum lelaki maka Islam memberi ruang berpoligami untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut yang jika tidak diselesaikan maka akan banyaklah masalah yang berkaitan dengan wanita seperti zina, janda tidak terbela nasib mereka, wanita ‘andalusia’ iaitu ‘anak dara lanjut usia’ dan sebagainya.
  3. Berdakwah sesama wanita yang memerlukan bimbingan dan yang boleh membimbing. Sepertimana Nabi SAW berpoligami atas dasar dan unsur dakwah maka begitu juga pada umatnya yang boleh berpoligami atas dasar dakwah kaum perempuan yang memerlukan bimbingan khasnya dari golongan lelaki cerdik pandai dalam ilmu agama Islam supaya mereka yang bergelar ustaz dan para alim ulama mampu menghasilkan produk wanita-wanita solehah dan zuriat yang baik dari sudut agama, akhlak dan budi pekerti kerana mendapat bimbingan dari bapa yang baik maka dari situ wujudlah masyarakat yang lebih baik dan bertanggungjawab.
  4. Membantu kaum wanita yang memerlukan sokongan dan belaan nasib untuk meneruskan kehidupan. Sebahagian perempuan khasnya yang janda dan miskin memerlukan kaum lelaki yang mampu membantu mereka untuk meneruskan hidup dalam suasana yang lebih selesa untuk keselamatan nyawa dan kesihatan mereka. Justeru, kaum lelaki yang kukuh ekonominya mampu berpoligami untuk menyelamatkan kaum Muslimat dari dakyah agama lain yang mungkin akan mengajak kaum wanita tersebut kepada agama mereka yang sesat dengan menggunakan cara menyalurkan bantuan makanan, wang dan bantuan yang lain kepada mereka sepertimana yang kedengaran berlaku di banyak tempat. Apatah lagi jika seseorang suami itu memiliki agama yang bagus serta ekonomi yang kuat maka lebih layak beliau berpoligami supaya dapat membela nasib kaum wanita dari sudut agama dan ekonomi.
  5. Amalan berpoligami mampu menyumbang dalam meramaikan umat Nabi Muhammad SAW. Dalam banyak hadis Nabi SAW ada menyatakan bahawa beliau berbangga pada hari kiamat nanti ke atas jumlah umatnya yang ramai berbanding dengan umat dari kalangan nabi-nabi yang lain yang lebih sedikit dari umatnya. Bermakna, selain dari pahala poligami, suami dan isteri-isterinya juga mendapat habuan pahala kerana menggembirakan Nabi SAW bukan sahaja di dunia tetapi hingga ke hari akhirat nanti.
  6. Menyelesaikan masalah keluarga yang tidak mempunyai zuriat disebabkan oleh isteri yang tidak boleh melahirkan dengan sebab kesihatan atau keengganan. Melahirkan zuriat di sini bukan sahaja dari sudut tidak boleh melahirkan secara mutlak tetapi jika sekiranya isteri hanya melahirkan anak dari satu jenis jantina sahaja pun iaitu sama ada melahirkan anak lelaki sahaja atau anak perempuan sahaja maka perkara begini juga boleh dijadikan sebab untuk suami tersebut berpoligami. Walaubagaimanapun, perkara tersebut bergantung kepada keperluan masing-masing.
  7. Poligami juga dianggap satu senjata bagi suami yang boleh digunakan sebagai alasan untuk meminta layanan yang baik dari isteri kerana isteri yang tidak mahu dimadukan sudah pasti akan melayani suaminya dengan sebaik mungkin maka akan wujudlah suasana isteri yang memenuhi hak-hak suami dan suami yang berpuas hati dengan isteri hingga tidak berlaku poligami kerana kasih sayang yang kuat dan sempurna antara mereka.
  8. Poligami juga dikira sebagai senjata bagi kaum isteri apabila mereka tidak mampu melayani kemahuan suami sama ada kemahuan seks atau yang lain yangmana kemahuan suami tersebut melebihi keupayaan isterinya. Contohnya, isteri yang mungkin sibuk bekerja dan selalu penat hingga tidak mampu melayani kehendak seks suaminya maka masalah begitu boleh menjadikan poligami sebagai alat untuk mengurangkan bebanan isteri dalam melayani suami yang mungkin mempunyai kehendak seks yang kuat.
  9. Poligami juga mampu menjamin sifat kemulian umat Islam kerana ia memberi ruang kepada kaum lelaki dari kalangan penganutnya untuk beristeri lebih dari seorang jika diperlukan maka lelaki yang layak akan dapat isteri yang sah mengikut syarak maka perkara tersebut akan menyelamatkan dari berlakunya zina dan seumpamanya yang memburukkan imej umat Islam.

 

1.7 TEORI POLIGAMI YANG BERJAYA

Teori yang dibincangkan di sini merangkumi syarat dan peraturan dari sudut syarak dan undang-undang keluarga Islam di Malaysia yang mesti dipatuhi oleh kaum lelaki yang ingin berpoligami dalam keadaan yang harmoni dan berjaya. Teori-teori ini harus dipatuhi supaya poligami yang dilaksanakan menghasilkan keberkatan dan kebaikanbukan kekacauan dan musibah. Teori-teori dan peraturan-peraturannya tersebut adalah seperti yang berikut:

  1. Jumlah isteri dalam poligami tidak boleh melebihi empat orang iaitu berpoligami sama ada mempunyai isteri dua, tiga atau empat orang sahaja. Jika ingin menikahi wanita lain selepas cukup kuota empat isteri maka si suami mesti menceraikan salah seorang dari isteri-isteri yang sedia ada tetapi perbuatan tersebut tidak digalakkan dalam Islam kecuali dengan alasan yang kukuh seperti nusyuz, penyakit berjangkit seperti HIV  dan sebagainya.
  2. Suami mampu berlaku adil dalam berpoligami dari sudut nafkah zahir iaitu makan dan minum, tempat tinggal, pakaian dan kesihatan dan juga dari sudut batin iaitu giliran bermalam di rumah isteri-isteri walaupun mungkin tidak melakukan hubungan seks dengan sebab tertentu seperti haid dan sebagainya.
  3. Suami mampu berpoligami dari sudut kesihatan, ekonomi dan hubungan jimak yang boleh diistilahkan dengan ‘3 ras’ iaitu ‘waras’ yang bermaksud sihat, ‘beras’ yang bermaksud ekonomi yang kukuh dan ‘keras’ iaitu mampu melakukan hubungan seks dengan semua isteri mengikut giliran masing-masing.
  4. Mematuhi undang-undang di Malaysia dalam berpoligami. Antaranya ialah melalui saluran yang disediakan di mahkamah dan jabatan-jabatan agama Islam di setiap negeri, tidak berahsia dalam berpoligami dan memberi maklumat yang betul kepada semua pihak yang terbabit dalam proses berpoligami.
  5. Pihak suami, isteri-isteri, anak-anak dan kaum keluarga terbabit harus bersikap positif dan memberi kerjasama dalam menjayakan keluarga yang berpoligami.
  6. Dalam menjalani hidup berpoligami setiap pihak perlu meningkatkan sifat toleransi dan kesefahaman sesama mereka kerana setiap jiwa mempunyai kehendak tersendiri yang tidak mungkin dapat dipenuhi semuanya kerana kehendak manusia tidak terbatas sedangkan kemampuan mereka amat terbatas.

 

1.8 POLIGAMIS ADALAH SIFAT LELAKI DAN MONOGAMIS ADALAH SIFAT WANITA

Menurut kajian ramai ahli jiwa dan ilmu kemasyarakatan, semua atau kebanyakan lelaki atau suami mempunyai sifat poligamis iaitu kecenderungan untuk mempunyai ramai isteri sedangkan para wanita atau isteri memiliki sifat monogamis iaitu cenderung kepada sifat seorang isteri adalah untuk seorang suami dan sebaliknya.

Antara ahli jiwa yang berpendapat demikian ialah Will Durant dalam bukunya The Pleasures of Philosophy, beliau berkata bahawa lelaki tidak diciptakan untuk monogami. Naluri lelaki menjadikan dia gemar mempunyai ramai isteri. Hanya oleh sebab kemiskinan, kesibukan kerja kewaspadaan isteri sahaja menyebabkan ramai lelaki hanya mengamalkan monogami.

Doktor Robert Kinsey pula menulis dalam Kinsey Report bahawa seorang doktor pakar telah memberitahu beliau bahawa lelaki adalah poligamis kerana di dalam tubuh lelaki terdapat berjuta-juta sperma-tozoa iaitu benih sebaliknya dalam diri wanita ketika ia sedang ‘ranum’ tidak ada benih dalam ovarinya kecuali satu benih sahaja.

Henri de Montherlan dari Perancis pulamenyatakan bahawa seorang wanita adalah diciptakan untuk seorng lelaki tetapi seorang lelaki diciptakan untuk seluruh wanita. (Mustaffa Suhaimi 2004: 1-3). Jelaslah di sini bahawa mengikut kajian pakar perubatan dan ahli pakar jiwa pun membenarkan situasi poligami yang sesuai dengan fitrah manusia tetapi ianya harus dilandaskan dengan syariat Islam.

 

1.9 KESIMPULAN

Poligami yang bermaksud amalan beristeri lebih dari seorang adalah amalan yang dibolehkan oleh Islam tetapi dengan syarat-syarat dan peraturan-peraturan tertentu yang mesti dipatuhi. Selain itu, undang-undang poligami di Malaysia juga harus dipatuhi untuk mereka yang terikat dengan undang-undang Malaysia. Poligami yang dilaksanakan dengan betul mempunyai hikmah dan kebaikan yang banyak dari sudut agama, individu, masyarakat dan negara. Justeru, bab yang seterusnya membincangkan tentang undang-undang poligami di Malaysia dan perlaksanaan poligami dalam masyarakat Islam di Malaysia. 

Bersambung….


If you enjoyed this post, please consider leaving a comment or subscribing to the RSS feed to have future articles delivered to your feed reader.
, , , , , ,

3 Responses to “Syurga Hidup Berpoligami Hakikat dan Cabaran (Bhg 1)”

  1. Denaihati Says:

    askm. maklumat yang bagus sekali sebagai panduan utk orang yg merancang, sedang berpoligami dan semua umat islam.
    fakta “kegagalan poligami, bahawa 80 peratus pengadu yang mengadu masalah rumah tangga terdiri daripada kaum wanita. krisis rumah tangga berpunca daripada kelalaian pihak suami” perkara yang sama sekali harus diberi perhatian agar suami dapat menangani sebarang permasalahan samada kecil atau besar. masalah kecil pun boleh jadi besar jika tidak ditangani dengan betul.
    Denaihati recently posted..Surat Tun Dr. Mahathir kepada PM IsraelMy Profile

    Reply

  2. Hanif Says:

    Panjang sungguh penerangan tuan, da boleh request pihak penerbit macam PTS jadikan buku ni.. :)

    Reply

  3. sweetkurma Says:

    hakikat poligami memang mencabar, tetapi kalau cabaran tersebut dapat kita tangani dan atasi inshaAllah ada banyak nikmat yang tersembunyi, macam orang putih kata “no pain no gain”….dok gitu…! maniskah kurma itu…????? heee hanya pengamal poligami saja yang tahu jawapannya…

    Reply

Leave a Reply

CommentLuv badge

Follow

Get every new post delivered to your Inbox

Join other followers: